Penang FC perkukuh cengkaman empat terbaik
PENANG FC memperkukuhkan cengkaman kelompok empat terbaik Liga Super apabila mengatasi PJ City 2-1 dalam aksi berintensiti tinggi di Stadium Bandaraya malam tadi.
Skuad Tomáš Trucha tidak menunggu lama untuk mendahului anak buah P Maniam apabila Casagrande meletakan tuan rumah di depan seawal minit keempat sebelum Sheriddin Boboev memastikan kedudukan selesa 2-0 menuju babak pertama perlawanan.
The Phoenix kembali garang dengan memperkemaskan permainan pada babak kedua akhirnya berjaya menjaringkan gol menerusi P Rajesh pada minit ke-64, namun kekentalan pertahanan The Panthers mengekang asakan lawan untuk kedudukan kekal 2-1.
Kemenangan itu menyaksikan Penang FC mengumpul 37 mata empat mata mengatasi Selangor FC kelima setelah kedua-dua pasukan mengharungi 20 aksi yang berbaki dua perlawanan.
Sementara itu, KL City merencatkan misi pemburuan Terengganu FC untuk berstatus kelab kedua terbaik Liga Super apabila mengecewakan pelawat dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Pada perlawanan itu, gol tunggal Paulo Josue minit ke-28, yang memanfaatkan percubaan jarak jauh J Partiban untuk kemenangan 1-0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!