Anson, Zulaikha teruja berentap senior

Antara pemain muda negara sudah bersiap sedia untuk beraksi dalam playoff badminton Ranking Dalaman Remaja BAM.
Antara pemain muda negara sudah bersiap sedia untuk beraksi dalam playoff badminton Ranking Dalaman Remaja BAM.
A
A
A

SERAMAI 20 pemain badminton remaja sudah bersiap sedia untuk beraksi dalam 'playoff' badminton Ranking Dalaman Remaja BAM yang akan bermula Isnin, selepas pertandingan Ranking Dalaman BAM berakhir minggu lalu.

Seramai 12 remaja lelaki dan lapan perempuan akan berentap bagi menempah kedudukan untuk kumpulan masing-masing dalam pasukan remaja, di bawah kendalian Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek.

Pemenang playoff akan mendapat peluang untuk bertanding dengan pemain yang lebih senior.

Pemenang perseorangan lelaki Kumpulan B dalam saingan Ranking Dalaman, Anson Cheong bertekad untuk mara ke Kumpulan A, yang akan memberikan beliau peluang untuk bersaing dengan pemain senior dan memperbaiki prestasinya.

"Saya kaji pencabar saya dan lihat bagaimana mereka bermain. Walaupun jurulatih saya gembira dengan persembahan saya, masih ada beberapa peningkatan yang mesti saya buat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan BAM.

Sementara itu, Siti Zulaikha Muhd ​​Azmi, pemenang kategori perseorangan perempuan Kumpulan B, juga menyimpan hasrat untuk melangkah ke Kumpulan A untuk bersaing dengan pemain handal seperti Siti Nurshuhaini Azman dan Tan Zhing Yi, yang masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua di Kumpulan A, minggu lalu.

"Saya harus meningkatkan kekuatan fizikal dan stamina saya. Jurulatih mahu saya berlatih lebih keras lagi kerana saya harus menghadapi pemain handal... Saya juga akan bersiap secara mental dan perlu lebih kuat dalam playoff ini," katanya.

Kedudukan dalaman pemain junior diadakan dua kali setahun sebagai sebahagian daripada penilaian berterusan kemajuan tahunan mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!