Penjawat awam antara 13 ditahan ketika leka berparti
ISKANDAR PUTERI - Seorang penjawat awam antara 13 orang yang ditahan polis ketika sedang leka berparti di sebuah unit pangsapuri di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua individu berusia 17 hingga 27 tahun itu ditahan dalam satu serbuan kira-kira jam 4 pagi hasil maklumat dan risikan yang dilakukan.
"Dalam serbuan itu, seramai 10 lelaki dan tiga wanita tempatan termasuk seorang penjawat awam berusia 27 tahun telah ditahan.
"Hasil ujian air kencing ke atas sembilan lelaki, seorang wanita dan penjawat awam itu didapati positif dadah," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Dzulkhairi, semakan Sistem Pengurusan Rekod Jenayah (SPRJ) mendapati dua antara mereka mempunyai rekod berstatus dikehendaki atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan mendapati penganjur menggunakan aplikasi WhatsApp dengan menjemput kesemua mereka menyertai parti persendirian itu.
"Kesemua mereka tidak dikenakan bayaran dan parti bermula lebih kurang jam 9 malam Sabtu dan akan berakhir lewat pagi esoknya (Ahad)," jelas beliau.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Pelan Pemulihan Negara (PPN)).
"Kesemua tangkapan telah dibawa ke mahkamah Johor Bahru untuk permohonan reman," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!