Bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui di Beaufort
BEAUFORT - Sebutir bot lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui di kawasan tapak pembinaan perumahan berhampiran Taman Wawasan di sini pada pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, bom terbabit ditemui sekumpulan pekerja binaan yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit.
Susulan penemuan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, sebaik menerima laporan itu, sepasukan polis dikerah ke lokasi untuk pemeriksaan.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui sebutir bom lama dipercayai peninggalan daripada kejadian Perang Dunia Kedua.
"Siasatan mendapati bom lama itu ditemui oleh pekerjaan binaan ketika melaksanakan pembersihan tapak perumahan yang bermula sejak Mei lalu.
"Bom itu dipercayai merupakan bom dari jenis 'Air Drop' yang digugurkan oleh Tentera British dengan menggunakan pesawat udara namun tidak meletup," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, bom sepanjang hampir satu meter dan berat lebih 220 kilogram itu dikawal sehingga proses memusnahkan bom itu dilaksanakan pada Isnin.
"Anggota polis memasang tali garisan polis untuk mengelak orang ramai menghampiri atau mendekati lokasi berkenaan.
"Bom lama itu akan dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada pagi ini (Isnin)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!