11 maut dua bot berlanggar di Peru

Gambar menunjukkan Sungai Huallaga di Peru yang sepanjang 1,100 kilometer. - Foto YouTube/Trans Americas Journey
Gambar menunjukkan Sungai Huallaga di Peru yang sepanjang 1,100 kilometer. - Foto YouTube/Trans Americas Journey
A
A
A

LIMA - Dua buah bot berlanggar di Sungai Huallaga, Muyuna, Peru pada Ahad menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, kata kerajaan negara berkenaan.

Kejadian itu berlaku pada jam 5.30 petang waktu tempatan ketika sebuah bot yang dipenuhi dengan penumpang sedang menuju ke bandar Yurimaguas berlanggar dengan sebuah lagi bot, lapor sebuah stesen televisyen Peru.

Menurut Institut Kebangsaan Pertahanan Awam, setakat ini 11 orang terbunuh dan enam lagi cedera.

Antara yang terlibat dalam mencari mangsa-mangsa pelanggaran bot itu ialah anggota- anggota bomba dan polis.

Agensi berita Andina melaporkan sembilan orang hilang manakala stesen televisyen Peru Noticias melaporkan 37 orang hilang dalam kejadian tersebut.

Tentera Laut Peru menyatakan, pihak berkuasa pelabuhan Yurimaguas menyelamatkan 60 orang dan menemui 11 mayat mangsa pelanggaran bot itu.

Sungai Huallaga yang merupakan sebahagian daripada Lembangan Amazon adalah sepanjang 1,100 kilometer dan mengalir dari utara hingga ke bahagian tengah negara itu. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!