Penduduk 'korbankan' tiang gol jadi tiang Jalur Gemilang

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

JITRA - Menterjemahkan semangat kecintaan kepada negara tidak hanya dengan mengangkat senjata menentang musuh, sebaliknya mengorbankan sesuatu yang disayangi juga dapat membuktikan rasa cinta kepada tanah air dan menyemarakkan semangat patriotik.

Untuk itu sekumpulan penduduk di Kampung Tanah Merah di sini bertindak ‘mengorbankan’ tiang gol bola sepak kesayangan mereka untuk dijadikan tiang Jalur Gemilang.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanah Merah, Azman Abu Hassan berkata, sejak negara dilanda pandemik Covid-19, pelbagai aktiviti yang biasa dilakukan seperti bersukan secara berkumpulan terpaksa dihentikan bagi mengekang penularan wabak itu.

“Jadi kami terfikir untuk 'korbankan’ tiang gol kesayangan kami menjadi tiang bendera yang besar sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini," katanya kepada Bernama di Kampung Tanah Merah di sini pada Isnin.

Azman berkata, besi tiang gol yang asal dipotong dan disambung menjadi sebatang tiang setinggi hampir 20 meter dengan kerjasama penduduk yang menggelar diri mereka sebagai Pasukan Sukarelawan Kampung Tanah Merah.

Katanya, kos untuk 'projek Merdeka’ itu juga hasil kutipan daripada poket masing-masing.

Beliau berkata, tiang gol berkenaan sangat bermakna bagi penduduk kampung khususnya anak-anak muda kerana ia menyimpan sejarah dan kenangan manis buat mereka sebelum negara dilanda wabak Covid-19.

“Sebenarnya tiang gol ini dibeli dengan menggunakan duit hasil jualan hadiah kemenangan pasukan bola sepak anak-anak muda kampung ini pada pertandingan bola sepak antara kampung beberapa tahun lepas. Ketika itu pasukan kami dapat hadiah seekor kambing dan 20 ekor itik.

Artikel Berkaitan:

“Kambing itu kami jual, dapat dalam RM700 kami buat tiang gol ini, sebab itulah kami sayang. Tapi sekarang nak main bola pun dah tak boleh, jadi daripada membiarkan ia terbiar kami rasa patut buat sesuatu bermakna untuk abadikan tiang gol ini,” katanya.

Beliau berkata, mereka memutuskan untuk memacak tiang bendera itu di tepi sawah di tengah kampung.

"Melihat bendera selebar kira-kira empat meter berkibar tinggi di ruang udara kampung hasil kerjasama penduduk menaikkan lagi semangat kami untuk menyambut Hari Kebangsaan walaupun kita semua sedang diuji dengan wabak yang cukup menyedihkan," katanya.

Azman berkata, penduduk juga memasang lebih 100 Jalur Gemilang di seluruh kampung bagi menceria dan menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

"Kami melakukan semua persiapan ini dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) agar tidak timbul sebarang masalah," katanya.

Menurut Azman kampungnya juga terpilih mewakili Kedah dalam Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Empat kampung di Kedah terpilih ke pertandingan itu dan kami sangat berbangga kerana kampung kami salah satu daripadanya. Usaha kami dalam memastikan kampung bebas daripada Covid-19 nampaknya dihargai," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kebersihan dan keselamatan, pasukan sukarelawan melakukan proses sanitasi di seluruh kampung, selain melaksanakan aktiviti rondaan malam serta kawalan keluar masuk orang awam.

"Kami juga membantu penduduk agar masing-masing mendapat suntikan vaksin, bagi yang uzur dan kurang upaya kami bantu memudahkan proses suntikan selain memastikan tiada penduduk kampung yang terputus bekalan makanan dalam tempoh pandemik ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!