Perjuangan Tun Sakaran demi sosioekonomi, pendidikan rakyat Sabah

Allahyarham dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Sabah 2008, serta Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017. - Foto Bernama
Allahyarham dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Sabah 2008, serta Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Negara khususnya Sabah kehilangan seorang tokoh yang tidak pernah jemu berjuang demi meningkatkan tahap sosioekonomi dan pendidikan rakyat, serta syiar Islam di negeri ini setelah pemergian Tun Sakaran Dandai pada awal pagi Isnin.

Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan itu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Gleaneagles di sini pada jam 5.30 pagi setelah dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu akibat jangkitan Covid-19, sejak dimasukkan ke hospital itu pada 18 Ogos lepas.

Budi ditabur Sakaran, 91, tidak akan dapat dilupakan rakyat Sabah terutama di tempat asalnya Semporna apabila Allahyarham mengasaskan pembukaan tanah-tanah Rancangan termasuk Pulau Semporna, Mentaritip Pegagau dan Lihak-Lihak sekali gus meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk kawasan itu.

Jasa Allahyarham dalam bidang pendidikan dan syiar Islam juga amat dihargai apabila dilantik menjadi Canselor Pertama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Sabah 2008, serta Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017.

Sakaran yang berasal dari Semporna, berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Januari 1995 hingga 31 Disember 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah kelapan pada tahun 1994.

Dilahirkan pada 15 April 1930 di Kampung Air, Semporna, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Semporna, sebelum menyambung pelajaran di Government Vernacular School Semporna (kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna).

Allahyarham juga merupakan penerima Ijazah Doktor Kehormat Falsafah (Pengurusan) UMS pada tahun 2004.

Dalam kerjayanya, Sakaran memulakan tugas dalam perkhidmatan awam sebagai Kerani Anak Negeri (Native Clerk) di Pejabat Daerah Semporna pada 31 Ogos 1948 dan memain peranan penting membangunkan rakyat di peringkat akar umbi melalui perkhidmatannya antaranya di Lahad Datu dan Pejabat Daerah Tuaran.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 1960, Sakaran merupakan Ketua Anak Negeri paling muda dilantik ketika itu dan beliau sering memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan di Semporna khasnya, kerana pada masa itu hanya 35 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur bersekolah, dihantar ke sekolah.

Beliau kemudiannya telah membantu dalam mendirikan lebih banyak Sekolah Rakyat untuk meningkatkan taraf pendidikan penduduk Sabah, sebelum bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun 1967.

Sakaran pernah terlibat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah dan mengasaskan Yayasan SABDI yang memfokuskan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan serta menyebar kesusasteraan Islam.

Dalam arena politik, Sakaran pernah menjadi Timbalan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada tahun 1986, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO kedua-duanya pada tahun 1993.

Allahyarham menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semporna pada tahun 1976 dan Ahli Parlimen Silam pada tahun 1978, dan kemudian ADUN Sulabayan pada tahun 1985 sebelum mempertahan kerusi berkenaan selama lapan penggal.

Sakaran juga pernah menganggotai kabinet Sabah bermula tahun 1971 antaranya sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Sabah; Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, dan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi.

Pada 17 Mac 1994, beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah kelapan, kemudian pada 1 Januari 1995 menjadi Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan.

Allahyarham menjadi Yang Dipertua Negeri Sabah selama dua penggal sehingga 31 Disember 2002. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas TYT Sabah meninggal dunia akibat Covid-19

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!