'Kuda merdeka' semarakkan Bulan Kebangsaan

Nik Syazwan (kiri) bersama rakan menunggang kuda sambil kibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2021 ketika ditemui Bernama di Ladang SRZ Ternak Ladang Tenusu, Jeram Mengaji, Pasir Puteh, Kelantan. - Foto Bernama
Nik Syazwan (kiri) bersama rakan menunggang kuda sambil kibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2021 ketika ditemui Bernama di Ladang SRZ Ternak Ladang Tenusu, Jeram Mengaji, Pasir Puteh, Kelantan. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Bukan manusia sahaja yang mengambil bahagian menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, bahkan perkara sama turut dilakukan sekumpulan kuda di SRZ Ternak Ladang Tenusu, Jeram Mengaji di sini.

Pemilik Ladang SRZ Ternak Ladang Tenusu, Nik Syazwan Najmi Sukeri, 21, berkata, sebanyak 10 ekor kuda pelbagai jenis miliknya termasuk jenis Padi, Bimo dan Polo diketengahkan sebagai tarikan sempena sambutan itu tahun ini.

Katanya, idea untuk menggunakan kuda peliharaannya dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan itu timbul apabila beliau serta 25 pekerja ladangnya tidak dapat melakukan ‘rutin’ seperti biasa apabila tiba Bulan Kebangsaan berbanding sebelum ini disebabkan negara kini dilanda pandemik Covid-19.

“Jika tahun sebelum ini (bukan dalam tempoh pandemik), biasanya saya akan mengambil inisiatif untuk melakukan perarakan kuda secara besar-besaran sehingga ke Selising iaitu kira-kira tujuh kilometer dari ladang.

“Bagaimanapun, memandangkan sekarang negara dilanda wabak Covid-19, sekali gus untuk mengelakkan berlaku perkumpulan saya mencipta ‘kelainan’ dengan hanya membawa kuda mengelilingi ladang yang ditunggang oleh penunggang sambil memegang Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui Bernama di ladang berkenaan.

Bercerita lanjut, Nik Syazwan Najmi yang telah berjinak dengan kuda sejak seawal tujuh tahun itu berkata, bagi memeriahkan lagi bulan Kemerdekaan, orang ramai turut berpeluang untuk merasai semangat yang sama.

Katanya, penduduk di negeri ini juga boleh mengambil peluang untuk bersama-sama menterjemahkan semangat patriotik dengan menaiki kuda di ladang miliknya yang dibuka pada setiap hari bermula 9 pagi hingga 7 malam.

“Bagaimanapun, selaras dengan yang disarankan oleh pihak kerajaan, hanya pengunjung yang lengkap dua dos vaksin sahaja yang akan dibenarkan untuk menaiki kuda.

Artikel Berkaitan:

“Harga yang dikenakan untuk pengunjung menunggang kuda dalam tempoh 10 minit adalah RM5 bagi kuda kecil dan RM10 untuk kuda bersaiz besar,” katanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata bagi menjaga keselamatan pengunjung, kuda di ladang miliknya juga turut dilakukan sanitasi selain ia juga dimandikan setiap hari.

“Bagi mengelakkan berlaku kesesakan di ladang saya juga akan mengehadkan pengunjun iaitu hanya sekitar 10 hingga 15 orang sahaja pada satu-satu masa.

“Malah, pada awalnya mengikut perancangan pada esok hari (31 Ogos) saya turut merancang untuk memberi pengunjung menunggang kuda secara percuma, namun terpaksa dibatalkan kerana khuatir akan menyebabkan berlaku kesesakan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung Hazira Ahmad Zaidi, 32, dari Kampung Lundang, Kota Bharu yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 berkata, dengan adanya inisiatif ‘kuda merdeka’ berkenaan ia dapat menaikkan semangat pengunjung.

“Suasana ini sangat seronok apabila dapat melihat kuda mengelilingi ladang dengan membawa Jalur Gemilang. Ternyata, bahang Bulan Kemerdekaan itu dapat dirasai, walaupun kita sekarang hidup dalam norma baharu dan terpaksa meraikan dengan cara yang bersederhana,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!