Selangor lulus 441 projek libat nilai pelaburan RM22.45 bilion

Sidang DUN Selangor
Sidang DUN Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meluluskan sebanyak 441 projek perkilangan di negeri ini dengan merekodkan jumlah pelaburan bernilai RM22.45 bilion bermula tempoh Januari 2020 sehingga Ogos tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10.43 bilion merupakan pelaburan tempatan dan RM12.02 bilion membabitkan pelaburan asing.

Beliau berkata, sebanyak 27,491 potensi peluang pekerjaan turut diwujudkan bagi tempoh sama di negeri ini.

"Kerajaan negeri melalui Invest Selangor selaku agensi penggalakan pelaburan sentiasa melaksanakan pelbagai program dalam usaha memastikan negeri ini kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh pelabur," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini pada Isnin.

Chang Khim berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Datuk Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) berhubung nilai pelaburan yang masuk ke Selangor sejak Januari 2020 hingga sekarang mengikut kategori dan jenis.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, walaupun dalam keadaan dunia dilanda pandemik Covid-19 ketika ini, ia tidak menghalang kerajaan negeri untuk melaksanakan program-program promosi yang dijadualkan menerusi pelbagai kaedah seperti webinar, persidangan dan pameran secara maya (virtual).

"Bagi program-program secara fizikal pula, pelaksanaannya adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan," katanya.

Tambahnya, antara usaha yang dilaksanakan dalam memastikan sektor pelaburan terus berkembang di Selangor adalah membabitkan perancangan strategik seperti penyediaan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Negeri Selangor (Selangor Aerospace Action Plan) dan Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor (Selangor Biotechnology Action Plan).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!