Malaysia perlu pergiat perangi varian Delta untuk rangsang ekonomi

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

MALAYSIA perlu mempergiatkan lagi usaha memerangi varian Delta Covid-19 untuk merangsang ekonomi dan perdagangan, menurut AmBank Research.

Katanya, varian itu dijangka melembapkan lagi pemulihan ekonomi berikutan syarikat dan pekerja masih tidak dibenarkan untuk bertugas di pejabat.

“Varian Delta dan gangguan rantaian bekalan serantau akan memanjangkan lagi kemerosotan pertumbuhan,” menurut firma penyelidikan itu menerusi nota.

Katanya, pertumbuhan eksport adalah perlahan pada Julai iaitu 5.0 peratus tahun ke tahun berikutan penghantaran pembuatan yang perlahan disebabkan kemerosotan segmen elektrik dan elektronik (E&E) akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Bagaimanapun, katanya, pemulihan masih berlaku meskipun pada masa ini pertumbuhan adalah perlahan.

“Kami jangkakan eksport tahun penuh 2021 akan meningkat 15 peratus, sebahagiannya disokong oleh asas rendah, menerima manfaat sebelum PKP 3.0 dan pengukuhan harga komoditi,” katanya.

AmBank Research berkata, permintaan asing telah merangsang eksport ekonomi seperti China, Korea Selatan dan Malaysia, namun enjin berkenaan menunjukkan isyarat kelembapan.

Menurutnya, Indeks Pengurusan Pembelian pembuatan swasta dan rasmi di China turun kepada paras terendahnya bagi setahun pada Julai menunjukkan permintaan domestik dan luar negara yang merosot.

Artikel Berkaitan:

Sambil menggesa negara itu untuk memperkukuhkan usaha menentang varian Delta, firma penyelidikan itu berkata varian berkenaan turut mengganggu momentum tersebut.

“Berikutan rantaian bekalan bersepadu yang erat di rantau ini, penutupan kilang di sesebuah negara boleh mewujudkan masalah di tempat lain. Malah, sekiranya ancaman segera virus ini reda dalam tempoh beberapa bulan yang terdekat ini, kesan ekonominya mungkin akan berterusan untuk sesuatu tempoh dan Malaysia akan turut terkesan.

“Sekiranya varian Delta terus merebak dengan pantas di Asia, sedangkan pelaksanaan vaksinasi adalah perlahan, ia boleh menyebabkan impak ekonomi jangka panjang,” katanya sambil memaklumkan eksport Malaysia dijangka berdepan cabaran, termasuk ketidaktentuan rantaian bekalan untuk beberapa bulan akan datang.

Menurut firma penyelidikan itu, berikutan rantau ini termasuk Malaysia berperanan sebagai pangkalan kepada pembuatan global, kawalan pergerakan telah menjejaskan output dan keadaan ini dicerminkan melalui segmen E&E.

“Lonjakan kes Covid-19 telah menyebabkan pelaksanaan PKP 3.0 dan telah menjejaskan rantaian bekalan semikonduktor. Gangguan ini boleh melanjutkan lagi ketidaktentuan rantaian bekalan sehingga 2022 akibat kekurangan pekerja susulan pandemik dan pemintaan global yang kukuh,” katanya.

Menurutnya, keadaan ini akan menjejaskan harapan untuk mencatat pemulihan pada separuh kedua 2021. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!