Tiada insiden ganjil pada PRK Semenyih

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setakat ini tiada perkara luar biasa berlaku yang boleh mengganggu-gugat perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Beliau bagaimanapun berkata terdapat laporan berhubung provokasi di satu dua tempat.

"Perkara-perkara itu kecil sahaja, jadi ini bermakna proses pilihan raya yang dipantau polis berjalan baik dan lancar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

PRK DUN Semenyih hari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.

Menjawab pertanyaan pemberita, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden PH menolak tanggapan bahawa Muhammad Aiman telah berkempen selepas mengundi di sebuah sekolah pagi ini.

Jelasnya, Muhammad Aiman sekadar bercakap dengan media dan menganggap ia bukannya kempen.

"Saya dengar pihak sana (calon parti lawan) melakukan, ada video dia salam (sambil beritahu) undi saya, undi saya. Salah tak?" soalnya.

Muhyiddin berkata beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melihat perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!