10 pemancing terperangkap dalam banjir di kebun kelapa sawit
DENGKIL - 10 orang awam yang memancing di sebuah lombong dalam kebun kelapa sawit di Jalan Kampung Sungai Melut, di sini terperangkap dalam banjir pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.28 petang.
Menurutnya, seramai 20 anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya tiba di lokasi dan memulakan operasi menyelamat pada jam 7.48 petang.
“Anggota bomba melaporkan terdapat 10 orang mangsa terperangkap dalam kawasan kebun sawit yang dinaiki air setinggi tiga meter, jarak jentera ke lokasi banjir kira-kira satu kilometer dan keadaan gelap.
“Anggota bertugas membawa keluar semua mangsa melalui laluan alternatif ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Hafisham berkata, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, dua wanita dan kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun.
"Operasi menyelamat tamat pada jam 10.37 malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!