Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Sakaran
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada masyarakat dan negara.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.
Sakaran yang berasal dari Semporna berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Disember 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah kelapan pada 1994.
Sakaran, 91, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Gleaneagles di Kota Kinabalu pada jam 5.30 pagi tadi setelah dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu akibat jangkitan Covid-19. Beliau dimasukkan ke hospital itu pada 18 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!