Pembangkang desak Exco Kesihatan letak jawatan, minta maaf
IPOH - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendesak Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin meletakkan jawatan.
ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata, gesaan itu dibuat susulan kegagalan Exco kerajaan negeri itu menjawab persoalan mengenai pengurusan Covid-19 di Perak.
Menurutnya, Mohd Akmal dilihat tidak turun padang membantu Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad menangani Covid-19 sekali gus memperlihatkan Exco kerajaan negeri itu tidak memainkan peranan sepatutnya.
"Tugas menangani Covid-19 memang di bawah menteri besar tetapi peranan besar Exco seperti melihat keperluan hospital kerajaan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan mengambil tahu kebajikan petugas barisan hadapan.
"Saya tidak nampak beliau turun, kita nampak beliau gagal melaksanakan tugas. Kalau tak berani nak jalankan tanggungjawab elokkah letak jawatan dan kita menggesa supaya jawatan itu diberikan kepada orang lain," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Sidang DUN Perak ke-14 pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: DUN Perak kecoh Exco Kesihatan 'diserang'
Sementara itu, ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How turut meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi Mohd Akmal sehingga mendatangkan kemarahan dalam kalangan wakil rakyat pembangkang pada Sidang DUN kali ini.
Menurutnya, kegagalan Exco berkenaan menjawab soalan berkaitan kesihatan membuktikan kegagalan beliau menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Jelasnya, tindakan Mohd Akmal meletakkan tanggungjawab menguruskan Covid-19 sepenuhnya kepada Menteri Besar Perak sesuatu yang tidak wajar.
"Saya rasa eloklah Exco memohon maaf, mengakui kegagalan dan kami sendiri boleh bersama-sama membantu sebab kami sedia bersama dalam jawatankuasa berkaitan kesihatan rentas parti.
"Begitu juga soal turun padang, beliau tidak sepatutnya menunggu jemputan menteri besar baru nak turun. Jadi kita desak agar beliau letak jawatan segera dan beri kepada mereka yang nak bekerja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!