Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang
SIBU - Tiga keluarga terdiri daripada 15 orang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Lorong 2 Kampung Usaha Jaya, Jalan Sentosa di sini musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Mangsa, yang terdiri daripada kanak-kanak berusia sembilan tahun hingga warga emas berusia 70-an dapat menyelamatkan diri masing-masing namun harta benda tidak dapat diselamatkan kerana api marak dengan cepat.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sibu berkata, sebuah rumah kayu dua tingkat musnah manakala dua buah lagi masing-masing mengalami kemusnahan 30 peratus dan 20 peratus dan tiada mangsa dilaporkan cedera.
Beliau berkata, panggilan kebakaran itu diterima daripada orang awam kira-kira 8.14 pagi dan pasukan dari Balai Bomba Sibu dan Balai Bomba Sungai Merah telah pergi ke lokasi kejadian dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan pukul 9.41 pagi.
Ketua Kaum Kampung Usaha Jaya, Ali Sarani berkata, mangsa yang terlibat dimaklumkan mengenai kebakaran oleh jiran belakang rumah mereka yang turut menghubungi pihak bomba.
“Saya diberitahu kebakaran itu kemungkinan berpunca akibat litar pintas yang bermula dari bahagian dapur tapi biarlah pihak bomba jalankan siasatan bagi menentukan punca dan jumlah kerugian sebenar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Seorang daripada mangsa, Kassim Johari, 49, ketika dihubungi berkata, beliau yang balik dari tempat kerja di Rantau Panjang terlihat kepulan asap apabila menghampiri kampung itu.
Apabila tiba di lokasi kebakaran beliau mendapati rumah yang terbakar adalah kediamannya.
“Kesemua anggota keluarga saya dalam rumah itu dapat menyelamatkan diri. Namun anak saudara perempuan saya yang berusia 17 tahun pengsan kerana trauma melihat api marak membakar rumah. Dia kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan,” jelasnya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!