Covid-19: JP Kelantan ringankan beban asnaf
JELI - Golongan asnaf yang 'hilang' pendapatan akibat pandemik Covid-19 mampu menarik nafas lega apabila menerima sumbangan Bakul Prihatin dari Majlis Jaksa Pendamai (JP) Kelantan pada Isnin.
Setiausaha JP Kelantan, Datuk Mohd Riduan Junoh berkata, agihan bakul prihatin secara pandu lalu itu turut melibatkan kerjasama daripada Badan Kebajikan Unit Hal Ehwal Murid (HEM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 2.
"Sumbangan ini merupakan bentuk penzahiran rasa prihatin pihak kami untuk turut sama membantu meringankan beban serta memberikan kegembiraan kepada penerima," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Menurutnya, seramai 60 penerima telah mendapat manfaat sumbangan tersebut dan JP Kelantan akan terus turun padang untuk membantu meringankan beban golongan yang terjejas akibat Covid-19.
Beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 telah meninggalkan impak yang cukup berat untuk diharungi oleh seluruh masyarakat di negeri ini.
"Saya harap masyarakat terus berdoa supaya wabak ini segera hilang agar kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.
"Selain itu, masyarakat juga diingatkan untuk terus patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian jangkitan ini dengan memakai pelitup separuh muka, mencuci tangan, jaga penjarakan serta tidak berkunjung ke tempat sesak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!