Pulau Pinang gesa KKM segerakan bekalan vaksin
GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pastikan bekalan vaksin dapat disegerakan bagi menyempurnakan suntikan penuh kepada populasi dewasa di negeri ini mengikut masa ditetapkan.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, bekalan vaksinasi yang mencukupi amat penting dalam usaha kerajaan negeri memastikan kes-kes serius jangkitan Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dapat dikurangkan.
Beliau berkata, sekiranya kes serius dapat dikurangkan ia sekali gus mengurangkan tekanan kepada perkhidmatan kesihatan dan perubatan awam dalam merawat pesakit-pesakit Covid-19 yang meningkat di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini.
"Kita beranggapan dengan imunisasi adalah strategi utama untuk keluar daripada peningkatan kes positif dan serius di negeri ini.
"Oleh itu, kita menggesa KKM untuk pastikan bekalan vaksin dapat disegerakan dan tidak lagi berdepan dengan gangguan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut menggesa kerajaan Persekutuan segera mengagihkan sumber tenaga dan meningkatkan sistem perubatan di Pulau Pinang berikutan peningkatan kes mendadak.
Katanya, KKM wajar mempertimbang menghantar pakar-pakar perubatan dari negeri yang kurang berdepan kes Covid-19 untuk membantu tugas perawatan di negeri-negeri yang merekodkan kes tinggi.
Beliau berkata, Pulau Pinang mungkin tidak berhadapan masalah bagi mendapatkan kelengkapan perubatan seperti katil unit rawatan rapi (ICU) kerana banyak pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat bersedia memberi sumbangan.
“Tetapi kita mungkin berdepan kekangan dari segi tenaga pakar yang dapat mengendali dan menguruskan rawatan bagi kes-kes serius Covid-19 ini. Keperluan ini bukan hanya untuk Pulau Pinang tetapi juga negeri-negeri utara lain yang berdepan peningkatan kes mendadak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!