'Benarkan semua aktiviti, fasiliti sukan beroperasi secara khusus'

Tangkap layar ciapan Nadzry Abu Bakar.
Tangkap layar ciapan Nadzry Abu Bakar.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu membenarkan semua aktiviti dan fasiliti sukan untuk beroperasi semula secara lebih khusus dan bukannya berdasarkan Fasa Pelan Pemulihan Negara yang umum.

Pengarah Arena Legacy Sdn Bhd, Nadzry Abu Bakar berkata, kebenaran tersebut perlu diberikan kepada fasiliti yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP).

“Jangan benarkan lagi fasiliti sukan awam tanpa kawalan penuh operasi.

“Selain itu, mereka yang sudah lengkap dua dos, negeri yang mencapai imuniti kelompok, daerah yang mempunyai kadar kematian serta kemasukan hospital yang rendah dibenarkan,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, penutupan operasi hanya kepada fasiliti yang mencetuskan kluster dan bukan secara keseluruhan.

“Hari ini, yang berhormat angkat sumpah untuk berkhidmat kepada kami. Kami tunggu dan lihat sejauh mana mereka akan ambil tindakan yang serius.

“Tak perlu lawatan, bengkel atau mesyuarat berulang kali, kami percaya segala info ada didokumenkan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepanjang perkongsian sejak tahun lepas.

“Cukup satu perjumpaan jika perlu untuk dengar sejauh mana kami terkesan dan setakat mana sudah dibantu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nadzry berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan pemberian bantuan yang lebih praktikal dan efektif setelah hampir dua tahun tidak dibenarkan beroperasi secara penuh.

Menurut beliau, antaranya bantuan kewangan RM10,000 bermula Mei hingga selepas tiga bulan operasi penuh dibenarkan semula.

Selain itu, Nadzru berkata, operator yang menerima insentif itu wajib memberi komitmen kepada KBS untuk membayar semula bantuan melalui kemudahan penyewaan tempat secara percuma.

“Selain itu, pengecualian penuh cukai untuk tahun 2021 hingga 2023 khas kepada syarikat operator fasiliti sukan.

“Pengecualian khas cukai (sepanjang tempoh) untuk pemilik tanah atau bangunan yang menyewakan premis mereka kepada operator fasiliti sukan adalah untuk mereka lebih berminat dan memanjangkan lagi tempoh perjanjian sewa.

“Seterusnya, subsidi penuh atau minimum 50 peratus untuk bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di fasiliti-fasiliti sukan untuk sekurang-kurangnya satu tahun bermula operasi kembali seperti biasa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Nadzry berkata, kerajaan boleh mewujudkan skim ‘cash-back’ RM100 sebulan (maksima) kepada orang awam yang menggunakan fasiliti sukan menerusi penebusan resit sewaan yang berdaftar.

Jelasnya, kempen tersebut boleh dilaksanakan untuk tempoh tiga bulan pertama bagi menggalakan orang awam untuk menggunakan fasiliti sukan yang disediakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!