Tabung SFT3 pencetus perubahan pengusaha inap desa, kraftangan

Datuk Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
Datuk Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Tabung Khas Pelancongan SFT3 berjumlah RM500 juta adalah pencetus perubahan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta mempergiatkan lagi pertumbuhan pengusaha inap desa dan kraftangan dalam sektor pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, tabung khas itu amat signifikan apabila kerajaan memberi subsidi sebanyak 2 peratus daripada kadar keuntungan yang dikenakan dapat membantu mengurangkan kos perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Sebanyak 4,070 orang pengusaha program inap desa dan 5,572 orang pengusaha kraftangan mendaftar dengan MoTAC setakat Disember tahun lalu.

"Menerusi Tabung Khas Pelancongan SFT3 berjumlah RM500 juta ini, kerajaan memberi fokus serta keutamaan kepada usahawan inap desa dan kraftangan di negara ini untuk meluaskan dan mengembangkan perniagaan masing-masing," katanya ketika berucap melancarkan Tabung Khas Pelancongan SFT3 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sementara itu, Aria Putera berkata, SME Bank menyalurkan dana menerusi Tabung Khas Pelancongan ini sejak tahun 2002, dan meluluskan pembiayaan berjumlah RM2 bilion kepada 478 syarikat setakat Disember 2018.

"Sebagai kesinambungan usaha ini dan seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, SFT3 yang berjumlah RM500 juta ini ditawarkan dalam bentuk pembiayaan bagi membantu usahawan mengembangkan produk atau perkhidmatan berasaskan pelancongan.

“Dari segi bayaran balik untuk SFT3 ini pula, SME Bank memberi tempoh bayaran balik maksimum sehingga 20 tahun bergantung kepada aktiviti ataupun jenis pembiayaan yang akan kami berikan kepada pengusaha PKS,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Aria Putera berkata pembayaran semula oleh usahawan yang memperoleh dana dalam SFT1 dan SFT2 amat baik.

"Untuk prestasi SFT2, Alhamdulillah secara amnya prestasi pembayaran semula oleh usahawan yang menerima dana memuaskan, bagaimanapun ada juga usahawan PKS yang mendapat impak kerana pelbagai faktor ekonomi, global dan faktor dalam usahawan PKS tersebut," katanya.

Aria Putera turut berkongsi kisah kejayaan Haji Ismail Group (HIG), usahawan terkenal di Langkawi yang turut menerima manfaat Tabung Khas Pelancongan itu.

"Untuk sektor pelancongan di Langkawi kami memiliki kisah kejayaan yang agak menarik seperti pembiayaan kepada HIG, menerusi pembiayaan serta bantuan yang SME Bank berikan mereka telah berjaya menjadi satu peserta industri utama di pulau ini.

“Kejayaan seperti ini yang ini SME Bank harapkan mampu dicapai oleh peserta industri lain di Langkawi menerusi dana serta pembiayaan yang diterima,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!