Balu Suhaimi lega baki pinjaman AIM langsai
PUCHONG - Isteri kepada Mohamad Suhaimi Khamis, mangsa kemalangan di Kilometer 372 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara dekat Slim River, 23 Februari lalu lega apabila baki bayaran pinjaman Amanah Ikhitiar Malaysia (AIM) langsai.
Khatijah Abdul Karim, 36, berkata, dia yang sebelum ini menjalankan perniagaan kuih secara kecil-kecilan memang tahu manfaat diterima sebagai peminjam sejak membuat pinjaman AIM sejak tahun 2014.
“Saya rasa lega apabila satu tanggungjawab (baki hutang) dah selesai.
“Memang syukur sangat Sahabat AIM dan juga pucuk pimpinan AIM ambil berat serta datang tanya khabar selepas kematian suami,” katanya.
Sementara itu, Pegawai AIM Cawangan Puchong, Mohammad Shah Rizan Amit berkata, Khatijah layak mendapat manfaat itu sebagai peminjam di bawah Skim Mesra dan Skim Sejahtera AIM.
Katanya, Khatijah sebelum ini membuat pinjaman sebanyak RM16,000 dan sudah membuat pembayaran sebanyak RM7,452.
“Jadi baki hutang pinjamannya sebanyak RM8,548 dihalalkan kerana pencarum kedua iaitu suaminya meninggal dunia,” katanya ketika berkunjung ke rumah keluarga Khatijah di Kampung Kenangan Batu 13, di sini.
Turut hadir, Pengurus AIM Cawangan, Ramlah Md Aroff
Katanya, selain hutang pinjaman AIM dihalalkan, Khatijah turut menerima hibah sebanyak RM1,000 dan sumbangan tabung kebajikan sebanyak RM500.
“Atas rasa prihatin terhadapnya, kami juga ada buat kutipan tabung daripada sahabat AIM Puchong dan menyerahkan jumlah sumbangan sebanyak RM5,866 kepadanya bagi meringankan bebannya dan anak-anak.
“Menerusi skim pinjaman ditawar AIM, peminjam dilindungi khairat kematian jika salah seorang sama peminjam atau pencarum meninggal dunia, automatik hutang dihalalkan,” katanya.
Beliau berkata, banyak kelebihan diperoleh Sahabat AIM yang dikhususkan untuk golongan wanita mempunyai niat berniaga atau ingin menambah modal dalam perniagaan dijalankan.
Katanya, pinjaman kewangan itu bagi meningkatkan taraf hidup peminjam menjana pendapatan menerusi perniagaan.
“Pinjaman disediakan bermula RM3,000 hingga RM20,000 untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas.
“Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pinjaman boleh berhubung di talian 03-77853921,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!