Malaysia perlu Program Transformasi Nasional baharu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia memerlukan Program Transformasi Nasional yang baharu bagi mengatasi krisis pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Firma Perunding Pengurusan PEMANDU Associates, Datuk Seri Idris Jala berkata, program transformasi itu juga perlu mengambil kira intervensi ke atas tenaga kerja, kesihatan, pendidikan, kawalan keselamatan, kestabilan politik dan juga mutu perkhidmatan awam di negara.

Tambahnya, program tersebut amat diperlukan bagi melihat semua sektor ekonomi pada masa akan datang.

“Kita dapat melihat, penggubal dasar masih terus bergelut dalam mengimbangi kepentingan nyawa berbanding mata pencarian.

“Secara umumnya, dapat kita rumuskan betapa pentingnya program pemulihan negara yang lebih agresif, lebih komprehensif bagi menyokong sistem kesihatan serta menghidupkan dan merancakkan semula ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Idris berkata, pendekatan fasilitatif dengan sistem maklum balas dua hala yang baik untuk rakyat dan anggota pembangkang merupakan kunci kejayaan bagi proses pemulihan negara.

“Saya menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil pendekatan bekerjasama dengan anggota pembangkang untuk menjayakan rancangan pemulihan negara.

“Masih banyak yang harus dilakukan tetapi saya percaya Malaysia mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk bangkit daripada kemelut ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut beliau berkata, keadaan Malaysia dalam situasi yang mencabar menunjukkan negara semakin berpecah sama ada kepada bangsa, agama dan politik.

“Terdapat pelbagai desakan yang menginginkan perubahan. Di tengah-tengah perbalahan pendapat, rakyat menuntut perpaduan dan kebersatuan daripada semua pihak.

“Bermula kepimpinan sebelum ini sehingga kini, pelbagai usaha dilakukan untuk memperkukuhkan perpaduan negara tetapi di sebalik usaha ini, perbezaan pendapat terus meningkat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!