54 pemimpin Gerakan lafaz ikrar bebas rasuah
KUALA LUMPUR - Seramai 54 pemimpin Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pusat, Pemuda dan Wanita Pusat melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada Isnin.
Majlis secara maya diketuai Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai disaksikan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor.
Dominic dalam satu kenyataannya memaklumkan, IBR berkenaan dibuat bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti berkenaan untuk berkhidmat demi rakyat dan negara.
"Dengan semangat kesatuan, kesepakatan, kejujuran, keikhlasan, keyakinan dan kesungguhan untuk meraih sokongan padu rakyat demi kemenangan dalam pilihan raya akan datang, ayuh kita lafazkan ikrar taat setia ini.
"Gerakan berikrar untuk menghapuskan rasuah, berintergriti dan menghindari hasad dengki serta meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi," kata Dominic dalam kenyataan itu pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, barisan kepimpinan juga sedang meneliti penyertaan Gerakan dalam Piawaian Sistem Pengurusan Anti-Rasuah MS ISO 37001:2016 oleh International Standard Organization (ISO) sebagai rangka penilaian pelaksanaan, penyelenggaraan, dan penambahbaikan sistem pengurusan anti rasuah dalam parti.
Dominic berkata, penyertaan parti Gerakan dalam memperoleh Pensijilan MS ISO 37001:2016 membuktikan komitmen parti itu yang teguh melawan sebarang unsur berkait dengan rasuah dan penyelewengan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!