Tiga beranak ditahan kes penipuan produk kecantikan
ALOR SETAR - Polis Kedah berjaya menyelesaikan 14 kes berkaitan penipuan dalam talian produk kecantikan dengan menahan tiga beranak dipercayai dalang dalam kes tersebut sekitar Pendang dan Alor Setar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, wanita berusia 53 tahun bersama dua anak perempuannya masing-masing berusia 31 dan 28 tahun ditahan pada 17, 18 dan 22 Ogos selepas polis menerima laporan daripada mangsa.
Menurutnya, mangsa membuat laporan polis selepas menyedari ditipu dalam urusan pembelian produk kecantikan, serta pelawaan untuk menjadi rakan kongsi perniagaan selain menawarkan 'showroom' produk kecantikan jenama sendiri yang tidak wujud di laman sosial Instagram.
“Polis masih jalankan siasatan berhubung kes penipuan ini, ketiga-tiga suspek wanita tersebut dipercayai menjadi dalang kepada kes penipuan jual beli barang dalam talian.
Mereka dipercayai menjalankan aktiviti ini sejak tahun 2018 menggunakan modus operandi sama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, Elias menasihatkan kepada mangsa-mangsa lain yang turut ditipu oleh ketiga-tiga suspek berkenaan agar segera tampil membuat laporan polis.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan barangan secara dalam talian terutama yang menawarkan harga rendah.
"Pembeli hendaklah membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
Pihaknya menyarankan orang ramai membuat semakan kesahihan maklumat yang diterima dengan memuat turun aplikasi Check Scammer CCID yang boleh dimuat turun melalui Play Store dan App Store.
“Semakan juga boleh dibuat di laman web, http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan modus operandi jenayah komersil terkini melalui https://www.facebook.com/JSJKPDRM,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!