Kemerdekaan negara diraih atas keringat, nyawa pejuang terdahulu
PUTRAJAYA - Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 esok, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mengajak rakyat Malaysia menghargai pengorbanan warga tentera dan penjuang terdahulu kerana mempertahan negara.
Beliau berkata, kejayaan memerdekakan negara diraih atas keringat, air mata dan nyawa tentera serta pejuang terdahulu.
“Warga tentera telah pahatkan catatan sejarah iaitu kejayaan yang tidak siapa boleh persoalkan terutama ketika memerdekakan negara. Dan kejayaan ini bukan mudah.
“Jadi rakyat Malaysia perlu ingat dan jadilah anak bangsa yang akan berjuang mempertahan maruah dan kewujudan Malaysia sebagai negara berdaulat,” katanya kepada Bernama.
Raja Mohamed Affandi menyandang jawatan Panglima Angkatan Tentera ke-19 pada Disember 2016.
Beliau bersara pada 2018 selepas menabur khidmat bakti kepada ATM selama 42 tahun.
Katanya, veteran tentera juga perlu berbangga kerana apa yang dilihat, dirasai dan dinikmati ketika ini di Malaysia adalah hasil perjuangan dan pengorbanan semua.
“Berbangga dan ingatlah kerana Jalur Gemilang keramat tidak akan berkibar dengan gagah setiap tanggal 31 Ogos tanpa keringat, tanpa darah para pahlawan yang pengabdian dan pengorbanan mereka sentiasa dikenang pada setiap tanggal 31 Ogos,” katanya.
Mengimbau perkhidmatan dalam ATM, Raja Mohamed Affandi berkata, menjadi anggota tentera adalah satu pilihan bukan paksaan.
“Tiada sekelumit penyesalan... malah pada detik akhir perkhidmatan, hanya satu ungkapan tersemat dalam benak saya iaitu 'saya telah laksanakan dan baik buruk itu atas neraca ALLAH SWT,” katanya.
Bertema Malaysia Prihatin, sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Pahlawan Negara, di sini esok diadakan mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan yang berkonsep terbuka, terkawal dan berskala kecil serta pembabitan fizikal yang terhad tanpa membabitkan kehadiran orang awam di lokasi.
Orang ramai boleh menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2021 bermula 8 pagi yang bersiaran secara langsung menerusi semua stesen penyiar tempatan atau Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Merdeka 360 serta Jabatan Penerangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!