Luluh hati isteri, suami terjebak dadah
KLANG - Hati seorang isteri luluh apabila mendapati lelaki yang dinikahinya empat bulan lalu rupanya seorang penagih dadah.
Rahsia itu akhirnya terbongkar selepas suspek berusia 25 tahun itu positif dadah ketika mahu mengambil isteri dan bapa mertuanya masing-masing di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Klang kira-kira jam 10 malam, Rabu lalu.
Difahamkan, kejadian bermula apabila sepasukan anggota dan pegawai AADK Klang menyerbu sebuah rumah kedai di sebuah flat di Taman Sri Andalas kira-kira jam 8 malam.
Menurut sumber, ketika serbuan terdapat isteri, ibu mertua serta bapa mertua suspek di rumah terbabit.
"Bagaimanapun, isteri dan bapa mertua suspek ditahan selepas gagal bekerjasama melakukan ujian air saringan dengan alasan baharu sahaja selesai mandi dan membuang air kecil.
"Manakala ibu mertua suspek dilepaskan pihak AADK selepas didapati negatif dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sumber berkata, ujian saringan di pejabat AADK terhadap dua beranak itu bagaimanapun mendapati mereka negatif dadah.
Katanya, isteri suspek kemudian telah menghubungi suaminya untuk mengambilnya di pejabat AADK.
Namun, ketika tiba, suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan telah diminta untuk membuat saringan air kencing.
"Ujian saringan air kencing suaminya itu mendapati dia positif dadah jenis syabu. Keadaan itu membuatkan isteri suspek menangis selepas mengetahui suaminya itu terlibat dalam najis dadah sejak setahun lalu kerana pengaruh rakan kerja," katanya.
Dalam pada itu, seramai 12 lelaki berusia 22 hingga 48 tahun ditahan kerana positif dadah dalam operasi yang sama selama 12 jam di sekitar daerah ini.
Sementara itu, Ketua AADK Daerah Klang, Baharuddin Ahmad mengesahkan perkara tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!