Ceramah Ustaz Kazim batal, ini kenyataan WanCorp
JOHOR BAHRU - Pembatalan majlis ceramah agama oleh pendakwah terkemuka, Datuk Ustaz Kazim Elias di Batu Pahat, semalam dinafikan ada campur tangan dari kerajaan negeri.
Penganjur program, Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) dalam satu kenyataan memberitahu, pembatalan itu adalah inisiatif sendiri pihaknya yang tidak mahu ada sebarang agenda politik dipraktikkan dalam program mereka.
Menurutnya, ia susulan penularan poster ceramah tersebut yang turut mengaitkan penganjurannya dengan parti politik tertentu.
"Pembatalan program itu selaras dengan peraturan syarikat yang tidak mahu dilibatkan dengan mana-mana unsur politik dalam sebarang aktiviti anjurannya.
"WANCorp turut menafikan pembatalan majlis ceramah agama itu adalah atas arahan kerajaan negeri," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, WANCorp juga ingin membuat permohonan maaf kepada masyarakat setempat terutama yang telah hadir pada majlis terbabit.
Dalam masa sama, WANCorp menjelaskan pihaknya akan meneruskan siri ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias seperti yang telah dijadualkan tertakluk kepada peraturan dan garis panduan tertentu.
Hari ini tular di media sosial beberapa keping gambar dan video berdurasi 2 minit 25 saat yang menunjukkan seorang individu memberitahu hadirin yang hadir bahawa majlis tersebut dibatalkan pihak kerajaan negeri.
Difahamkan juga kedua-dua penceramah jemputan itu telah pun tiba di lokasi ceramah sebelum dimaklumkan pembatalan program berkenaan pada saat-saat akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!