Hanya mampu lambai minta tolong
KUALA KANGSAR - Setelah hilang lebih 48 jam, lelaki yang tidak pulang ke rumah setelah keluar ke kebun akhirnya ditemui kira-kira jam 2.10 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, mangsa, Mohd Nazari Anjang Latif, 56, ditemui dalam keadaan selamat oleh seorang lelaki tempatan.
Katanya, mangsa dilihat berjalan kaki keluar berseorangan dari kawasan kebun getah itu.
"Mangsa kelihatan melambai-lambaikan tangan meminta tolong daripada pasukan menyelamat. Jarak mangsa ditemui dalam lingkungan 800 meter dari tempat motosikal dijumpai.
"Selain itu, mangsa ditemui dalam keadaan keletihan dengan tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang berwarna kelabu," katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, pihak polis turut menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan mangsa dan mendapati tiada sebarang kecederaan berkaitan jenayah ditemui.
Razali berkata, sehubungan dengan penemuan itu, operasi pencarian mangsa yang melibatkan pelbagai agensi tamat pada jam 4 petang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, mangsa ditemui seorang penduduk kampung yang turut terlibat dalam pencarian mangsa.
"Mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan lemah. Kita berikan dia air sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kangsar pada jam 2.20 petang menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut," katanya.
Mohd Nazari yang beralamat di Kampung Paya Renggam, Padang Rengas difahamkan keluar ke kebun getah pada 28 Februari lalu dan tidak pulang ke rumah selepas itu.
Operasi mencari mangsa di kawasan berhampiran dilakukan dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jabatan Sukarelawa Malaysia (Rela), Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Anjing Pengesan (K9) dengan jumlah keseluruhan anggota penyelamat melebihi 80 orang termasuk penduduk kampung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!