Penghuni pangsapuri bersaing hias blok kediaman
PELABUHAN KLANG - Penghuni Pangsapuri Bestari Seri Perantau di sini bersaing dalam pertandingan menghias blok kediaman sempena Hari Kemerdekaan pada Selasa.
Pengerusi Penyelaras Program tersebut, Saharudin Omar berkata, pertandingan berkenaan diadakan kali pertama untuk menyemarakkan semangat patriotik ketika musim Covid-19.
Menurutnya, penghuni mula menghias 12 blok kediaman mereka sejak pertengahan Ogos dan penilaian akan dibuat pada pagi Selasa.
Saharudin berkata, pertandingan tersebut juga bertujuan memupuk semangat kerjasama antara penghuni berbilang kaum di kediaman itu.
“Kira-kira 1,700 unit pangsapuri di sini dihuni pelbagai kaum. Pemuda Seri Perantau mengambil peluang menyemarakkan semangat patriotik ketika ketika negara dilanda Covid-19,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Saharudin memberitahu, penghuni pangsapuri masih berusaha menghias blok kediaman mereka mengikut kreativiti.
Ujarnya, pemenang blok tercantik akan memenangi wang tunai sejumlah RM1,000, sijil dan piala pusingan.
Saharudin turut berkongsi antara tema yang menjadi pilihan penghuni ialah konsep suasana peperangan dan penggunaan bahan terpakai seperti tempurung kelapa
“Kami menjemput wakil daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK), wakil polis dan wakil Pemuda Seri Perantau untuk mengadili pertandingan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!