Cabaran besar menanti Saifuddin
CABARAN besar menanti Mohd Saifuddin Abu Bakar selepas secara rasmi dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu menggantikan Stuart Ramalingam pada Isnin.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, cabaran utama Saifuddin adalah mengadaptasi apa yang dilakukannya di negara luar sejak beberapa tahun lalu untuk diterjemahkan dalam kerangka bola sepak Malaysia.
"Saya rasa senario di Qatar dan Oman itu amat berbeza dengan Malaysia. Qatar dan Oman adalah dua buah negara yang melihat kepada kejohanan Piala Dunia.
"Kedua-dua negara itu bekerja sepanjang masa, malah bukan bekerja hanya 24 jam tetapi lebih. Budaya kerja mereka juga mengambil orang profesional dan sepenuhnya berorientasikan keputusan.
"Sudah tentu situasi itu akan menjadi cabaran besar kepada Setiausaha Agung FAM yang baharu kerana persekitaran Malaysia tidak sama dengan apa yang ada di Qatar mahupun Oman.
"Jadi beliau perlu bersikap dinamik dalam menyelesaikan banyak perkara berbangkit dalam FAM selain melihat semula di mana kelemahan FAM untuk memastikan kita tidak ketinggalan di belakang negara Asia Tenggara, Asia Barat dan Asia Timur," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Terdahulu, FAM mengesahkan Saifuddin yang pernah bertugas sebagai Perunding Teknikal Pertandingan Persatuan Bola Sepak Oman (OFA) dilantik sebagai Setiausaha Agung badan induk itu yang baharu.
Saifuddin yang turut mempunyai pengalaman sebagai Penolong Ketua Pertandingan Qatar Stars League menjadi pilihan FAM bagi mengisi kerusi ditinggalkan Stuart yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Mengulas lanjut, Mohd Sadek berkata, beliau melihat perlunya tindakan proaktif daripada Saifuddin untuk memastikan penganjuran beberapa kejohanan di bawah kelolaan FAM dapat dilaksanakan selepas ditunda ekoran pandemik Covid-19.
"Antara perkara penting yang harus diberi keutamaan adalah penganjuran Piala Presiden, Liga Bola Sepak Wanita, Liga Futsal dan ia perlu dihidupkan semula demi pembangunan pemain di akar umbi.
"Saya mengharapkan entiti berasingan dengan individu-individu yang ada dalam MFL itu tidak dilibatkan dalam organisasi MFL kerana ia akan menyebabkan kerja bertindih dan tidak akan dilaksanakan dengan baik.
"Saya juga berharap pengubahsuaian struktur pentadbiran oleh Setiausaha Agung baharu nanti dapat memastikan perjalanan dan gerak kerja FAM terus lancar dalam semua aspek," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!