Fahmi cadang dua perkara reformasi Parlimen

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mencadangkan dua perkara agar reformasi atau penambahbaikan proses Parlimen di negara ini dapat dilakukan.

Menurutnya, perkara pertama adalah menetapkan sekurang-kurangnya satu atau dua hari di mana Rang Undang-Undang Persendirian atau usul yang dibawa oleh pembangkang dan ahli Dewan Rakyat lain dikemukakan untuk dibahas dan diputuskan.

“Sekarang ini tidak ada,” katanya ketika menjadi panel dalam program bertajuk ‘Ground Zero: Kemana Hala Tuju Reformasi Parlimen?’ yang disiarkan secara dalam talian pada Isnin.

Turut menjadi panel, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Fahmi yang merupakan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah, reformasi kedua yang dicadangkannya adalah mengadakan undi percaya dan undi tidak percaya bagi menentukan keabsahan seseorang Perdana Menteri dan kerajaan.

Menurutnya, ini kerana isu tentang keabsahan atau sokongan majoriti merupakan persoalan asas bagi sesebuah kerajaan dan harus diputuskan dengan segera.

“Di negara lain kadang-kadang ada cabaran kepimpinan. Tapi kita di Malaysia tidak ada sangat seperti itu,” katanya.

Jelasnya, di negara ini hanya pernah berlaku dua kali usul undi percaya dilakukan apabila berlaku perubahan peralihan seseorang Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Sekali pada tahun 1976 sewaktu Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia dan diambil alih oleh Tun Hussein pada waktu itu. Dalam beberapa hari satu undi percaya telah dilakukan.

“Sekali lagi pada 2003 apabila Pak Lah (Tun Abdullah) ambil alih daripada Tun Dr Mahathir juga dalam masa dua minggu satu usul dibawa oleh ahli Parlimen penyokong kerajaan dan diputuskan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, semenjak Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri sehingga beliau tamat perkhidmatan, sebarang undi percaya tidak dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!