Real tak jadi sambar Mbappe
PENYERANG Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe akan terus kekal di Parc des Princes selepas rundingan bersama Real Madrid tidak berjaya mencapai kata putus.
Memetik laporan media sukan antarabangsa, Real juga telah menarik diri daripada mendapatkan Mbappe selepas tidak bersetuju untuk membayar harga yang telah ditetapkan pasukan gergasi Perancis itu.
Los Blancos cuba mendapatkan Mbappe dengan menawarkan £137 juta (RM783.54 juta) namun ditolak oleh PSG yang menyifatkan Real sebagai tidak menghormati mereka kerana menawarkan jumlah yang terlalu rendah.
Real kemudian menambah tawaran mereka kepada £145 juta (RM829.29 juta) selain tambahan £9 juta (RM51.47 juta) tetapi ia tetap ditolak dengan PSG mahukan sekurang-kurangnya £175 juta (RM1 bilion).
Pasukan gergasi Sepanyol itu yakin tawaran kedua mereka tersebut akan diterima selepas Mbappe telah menyatakan secara terbuka mahu meninggalkan PSG.
Namun, PSG tetap berkeras mahukan tawaran yang lebih tinggi sekali gus menyebabkan rundingan tersebut tidak berjaya dicapai sebelum jendela perpindahan ditutup pada Rabu.
Ia sekali gus menyaksikan Mbappe akan bersama PSG sehingga kontraknya tamat hujung musim ini dan menjadikan trio Mbappe, Lionel Messi dan Neymar menjadi kenyataan.
Pemain berusia 22 tahun itu juga telah menolak enam tawaran lanjutan kontrak yang dikemukakan PSG dan dengan kontraknya bakal tamat pada penghujung musim ini, PSG berisiko kehilangannya secara perpindahan percuma.
Real pula hanya perlu menunggu sehingga Januari untuk membuka rundingan dengan Mbappe yang boleh menandatangani kontrak awal untuk menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan musim panas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!