Generasi muda mahukan politik inklusif: MB Selangor

AMIRUDIN
AMIRUDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Generasi muda pada masa kini menginginkan medan politik yang inklusif dan tidak terpaut dengan sistem lama.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, golongan berkenaan melihat pendekatan politik yang digunakan kini tidak lagi relevan dan seolah-olah seperti mengabaikan kepentingan mereka.

Menurut Amirudin, keadaan ini menyebabkan generasi muda merasakan suara mereka tidak didengari pimpinan politik dan negara yang berasaskan kepada sistem hierarki.

"Mereka melihat sistem ini didirikan dengan konsep jalan sehala kerajaan kepada rakyat tanpa wujudnya dialog yang sewajarnya.

"Mereka menuntut supaya padang permainan menjadi rata agar medan politik tidak berpegang kepada pendekatan, komitmen dan kesilapan yang lepas," katanya dalam Perutusan Hari Kemerdekaan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, dalam memastikan suara anak muda didengari, kerajaan Selangor telah tampil ke hadapan dengan beberapa usaha dan idea luar kotak untuk menjamin serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu buat generasi ini.

Beliau berkata, cara dan pendekatan yang diguna pakai amat penting berikutan generasi muda bakal menjadi duta abad ke-21.

"Mengambil iktibar tersebut, marilah kita bersama mengisi kemerdekaan dengan memajukan bangsa ini ke hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amirudin berkata, walaupun sambutan kemerdekaan pada tahun ini masih berada dalam suasana krisis kesihatan, namun sejumlah 69.75 peratus populasi dewasa yang mendaftar telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Beliau turut mengingatkan setiap pihak bahawa negara ini masih belum merdeka sepenuhnya daripada wabak Covid-19 selagi terdapat kes-kes jangkitan baharu.

"Ini mendesak keperluan untuk kita mengadaptasi secara sepenuhnya dan menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersama ancaman Covid-19 sebagai endemik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!