Pesakit jatuh katil hospital hidap sakit kronik, Covid-19
SUNGAI PETANI - Pesakit yang meninggal dunia di wad Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani disahkan mempunyai sejarah sakit kronik dan menghidap Covid-19 kategori empat.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, hasil siasatan yang dilakukan, lelaki warga emas itu telah dimasukkan ke wad pada 26 Ogos 2021 setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 daerah Kuala Muda.
Menurutnya, sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi.
"Pesakit bagaimanapun kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan, namun tetap dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit bagi memantapkan komunikasi," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pada Isnin, setelah rondaan wad pagi selesai dan pegawai perubatan serta jururawat menanggalkan pakaian pelindung diri (PPE) sekitar jam 1.45 tengah hari, petugas wad diberitahu oleh pesakit lain bahawa seorang pesakit telah jatuh dari katil pada jam 2.25 petang.
Katanya, pegawai perubatan bertugas bergegas memakai PPE lengkap yang mengambil masa kira-kira lima minit dan terus memeriksa pesakit yang didapati terbaring di lantai wad.
"Pesakit telah dinaikkan ke katil semula dan pemeriksaan mendapati dia disahkan meninggal dunia.
"Punca kematian pesakit adalah Severe Covid-19 Pneumonia," katanya.
Dr Othman menjelaskan, pakar perubatan telah bertemu dengan ahli keluarga pesakit pada hari sama dan menjelaskan situasi sebenar kejadian.
"Ahli keluarga sememangnya telah maklum keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan pihak hospital.
"Jabatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan kesal atas penularan video berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Dalam pada itu, beliau memohon agar masyarakat umum menghormati ahli keluarga mendiang dan menghentikan penularan video tersebut.
"Siasatan lebih mendalam mengenai insiden ini akan dijalankan dan tindakan penambahbaikan yang diperlukan akan diberi perhatian," katanya.
Pada Isnin, satu video tular di media sosial mengenai seorang pesakit lelaki yang jatuh dan meninggal dunia dalam wad didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital.
Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sebelum ini menafikan bahawa pesakit itu dibiarkan sehingga meninggal dunia tanpa mendapat bantuan pihak hospital.
ARTIKEL BERKAITAN:JKN Kedah nafi biarkan pesakit Covid-19 mati di lantai hospital
ARTIKEL BERKAITAN:Tular video warga emas merangkak sebelum rebah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!