'Bola sepak terlalu mudah buat van Dijk'
TONGGAK pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk kembali berada pada prestasi terbaiknya untuk membantu The Reds mencapai keputusan yang lebih baik berbanding musim lalu.
Bekas pertahanan Liverpool, Mark Lawrenson berkata, van Dijk turut menjadikan benteng Liverpool kembali kebal dan telah membuktikannya dengan membantu pasukan itu merekodkan tiga perlawanan tanpa kalah dalam aksi awal Liga Perdana Inggeris (EPL).
Malah, Lawrenson turut menyifatkan kelibat van Dijk sama hebat dengan salah seorang bekas pertahanan Liverpool, Alan Hansen yang telah meraih 25 kejuaraan bersama kelab itu pada tahun 1970 sehingga 1980.
"Semua perlawanan terlalu mudah buat van Dijk. Contoh paling mudah saya boleh gambarkan adalah ketika Hansen bermain dan ia terlalu mudah untuk mereka.
"Ia seperti jersi van Dijk tidak pernah kotor ketika bermain. Tiada masalah untuknya berdepan dengan penyerang lawan dalam setiap perlawanan," katanya.
Van Dijk sebelum ini terlepas keseluruhan aksi EPL musim lalu selepas mengalami kecederaan lutut yang memaksanya berehat panjang.
Dalam pada itu, Lawrenson turut percaya kembalinya van Dijk memberikan impak positif terutama kepada gandingan di benteng pertahanan iaitu Joel Matip yang berjaya menghasilkan keputusan tanpa bolos dalam dua perlawanan menentang Norwich dan Burnley sebelum seri 1-1 ketika berhadapan juara Eropah, Chelsea.
"Kedua-dua mereka terlepas hampir kesemua aksi akibat kecederaan musim lalu dan kita nampak betapa tidak stabilnya Liverpool tanpa mereka berdua. Mereka adalah gandingan terbaik di benteng pertahanan menghasilkan keputusan yang bagus untuk pasukan.
"Matip nampak serasi dengan van Dijk dan gandingan mereka berdua ini turut memberikan kesan positif dengan pemain lain juga tampil dengan persembahan lebih baik dan cemerlang di atas padang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!