Bina jati diri daripada empat teras: MB Kedah
ALOR SETAR - Rakyat perlu memupuk kemerdekaan jiwa dan minda menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk daripada empat teras iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana rakyat berdepan dengan ancaman penjajahan bentuk baharu yang dipacu oleh kepesatan perkembangan teknologi.
Sehubungan itu, menurutnya, pengertian kemerdekaan harus dijiwai semula bagi mengelak diri kembali ‘dijajah’ seterusnya menjadi ancaman kepada budaya dan pemikiran anak muda.
“Inilah erti kemerdekaan yang sebenar, merdekakan jiwa dan minda setiap orang. Ini amat penting kerana walaupun negara kita sudah 64 tahun merdeka, namun pada zaman ini kita terdedah kepada ancaman budaya dan pemikiran akibat ledakan teknologi yang merupakan penjajahan alaf baharu,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.
Muhammad Sanusi berkata, sekiranya tidak ‘divaksin’ dengan empat teras terbabit, tidak mustahil bangsa dan negara kita terjajah semula.
“Untuk itu, sama-samalah kita hayati makna kemerdekaan dalam erti kata sebenar, terjemahkan penghayatannya dalam sikap dan amalan kita agar menepati ciri-ciri seorang yang merdeka.
"Adakah kemerdekaan semata-mata membawa maksud bebas daripada penjajahan? Sebagai rakyat sebuah negara merdeka, kita perlu menghayati makna sebenar kemerdekaan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, penghayatan erti kemerdekaan bukan sekadar retorik atau semata-mata pengkisahan semula peristiwa dalam lembaran sejarah.
“Itu tidak cukup untuk memastikan pengisian nilai kemerdekaan sebenar dapat kita terapkan dalam sanubari setiap anak bangsa.
"Generasi bertukar ganti. Mereka yang pernah hidup dalam era penjajahan, sudah lama ‘pergi’. Mereka yang pernah berjuang menentang penjajah, juga sudah tiada lagi,” katanya.
Sehubungan itu, tegasnya, bagaimana kita mahu mencorakkan tanah air tercinta dan anak-anak merdeka pada masa hadapan adalah tertakluk pada ‘tangan kita’ pada masa kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!