Permohonan bina Residensi Wilayah cecah 29,000 unit
KUALA LUMPUR - Sebanyak 29,000 unit permohonan baharu bagi pembinaan projek rumah mampu milik diterima Kementerian Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata, ia meliputi kira-kira 40 projek seluruh wilayah, khususnya di Kuala Lumpur.
Menurutnya, projek-projek berkenaan merupakan kesinambungan projek rumah mampu milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang dijenamakan semula sebagai Residensi Wilayah.
“Memandangkan Plan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 telah digazetkan, kita akan lihat kesesuaian projek yang dimohon ini untuk diberikan kebenaran pembangunan.
“Terdapat juga tanah-tanah swasta yang mahu dibangunkan, jadi kita akan menelitinya dengan melibatkan jumlah kepadatan yang dibenarkan," katanya.
Beliau berkata, untuk kediaman mampu milik ini, Kementerian Wilayah bersedia memberi kelonggaran jumlah kepadatan yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Unit Residensi Jalilmas, di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek rumah mampu milik Residensi Wilayah merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mencapai sasaran pembinaan sejuta unit rumah mampu milik di negara ini dalam tempoh 10 tahun.
“Pada tahun 2018, kira-kira 6,000 unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan telah diberi kebenaran pembangunan dan projek-projek berkenaan telah dimulakan,” katanya.
Terdahulu, seramai 1,050 pemilik Residensi Jalilmas menerima kunci unit masing-masing 12 bulan lebih awal memandangkan projek kediaman mereka itu siap lebih awal dari jangkaan.
Residensi Jalilmas dibangunkan oleh Pemaju Aset Kayamas Sdn. Bhd, terdiri daripada 2 blok dan setiap unit berkeluasan 800 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi dijual dengan harga RM198,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!