FAM batal pertandingan Piala Presiden, Piala Belia

STUART
STUART
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membatalkan pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia tahun ini selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu juga diambil selaras dengan status penganjuran kedua-dua pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Biarpun kadar kes baharu Covid-19 di Lembah Klang telah menunjukkan penurunan, kes-kes baharu di negeri lain dilihat meningkat dan masih tidak menentu, sekali gus dijangka tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk melihat jumlah kes berada pada tahap yang rendah untuk dibolehkan kedua-dua pertandingan ini berlangsung.

"Selain itu, faktor para pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing juga pada tahap yang agak rendah ketika ini yang mana ia akan memberi risiko bagi keselamatan dan kesihatan para pemain jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dilangsungkan pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, sebagai badan induk bola sepak negara, FAM bukan hanya bertanggungjawab untuk pembangunan bola sepak dan penganjuran pertandingan tetapi perlu juga mengambil kira beberapa perkara lain terutama soal keselamatan dan kesihatan pemain yang terlibat.

"Selain itu, beberapa perkara penting di dalam penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dilihat masih belum cukup untuk memberi jaminan pada tahap tertinggi dalam segala aspek penganjuran telah mendorong untuk FAM mengambil keputusan membatalkan kedua-kedua pertandingan ini.

"Ia satu keputusan yang berat tetapi perlu bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku terutamanya dari segi keselamatan dan kesihatan pemain. FAM juga berasakan keputusan ini adalah yang terbaik pada ketika ini dan pada masa yang sama ia memberi lebih ruang kepada pasukan-pasukan untuk membuat persediaan bagi menghadapi pertandingan yang sama untuk tahun 2022 yang dijangka bermula seawal Februari depan.

"FAM turut mengambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama semua pihak dalam pelaksanaan keputusan dan ketetapan seperti di atas dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua pasukan yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha dan perancangan FAM sebelum ini berkaitan dengan penganjuran kedua-dua pertandingan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!