Pembantu ladang cedera dipukul suami bekas teman wanita

No Image Caption
A
A
A

JEMPOL- Seorang pembantu ladang cedera selepas dipercayai dipukul oleh seorang lelaki dalam kejadian di hadapan koperasi Felda Sungai Lui pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang apabila dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza datang ke rumah mangsa di Felda Sungai Lui sebelum memanggilnya keluar.

"Mangsa yang berusia 27 tahun itu menaiki kereta tersebut, namun pulang semula kira-kira 30 minit kemudian dalam keadaan cedera.

"Hasil siasatan mendapati mangsa dibawa di hadapan Koperasi Felda Sungai Lui.

"Bagaimanapun, salah seorang daripada suspek yang berumur 50-an memperkenalkan diri sebagai suami bekas teman wanita mangsa yang dipercayai memukul mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Chang Hook berkata, punca mangsa dipukul kerana suspek mendapati mangsa masih berhubung dengan isterinya.

"Mangsa dipukul dengan menggunakan sebatang kayu di bahagian lengan kiri dan lengan kanan serta bahagian kanan kepala. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Chang Hook berkata, susulan itu pada Selasa kira-kira jam 4.15 pagi kedua-dua suspek berusia 50-an dan 20 tahun ditahan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, polis merampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza warna biru, kunci kereta dan sebatang rotan untuk siasatan.

"Kedua-dua tangkapan akan dipohon reman pada Selasa untuk teruskan siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!