Kerjasama DAP mahu kembalikan negara, ekonomi pada tahap normal
SHAH ALAM - Kesediaan DAP bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertujuan mengembalikan negara dan ekonomi kepada situasi normal.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kerjasama itu tidak boleh disalah anggap sebagai Pakatan Harapan (PH) atau DAP membentuk kerajaan perpaduan dengan Ismail Sabri.
"Ini tidak benar dan jauh daripada kebenaran. DAP akan tetap berada dalam pembangkang untuk memainkan peranan Perlembagaan kami sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan, membawa suara rakyat, membela cita-cita dan prinsip serta melawan ketidakadilan.
"Kami bersedia bekerjasama untuk melaksanakan reformasi institusi terutama pindaan Perlembagaan yang memerlukan 2/3 majoriti untuk menggubal Undang-undang Anti Lompat Parti," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa.
Mengulas lanjut Guan Eng berkata, rancangan normalisasi juga bertujuan membolehkan kehidupan diteruskan dan memberi inspirasi kepada golongan muda supaya merealisasikan potensi.
Pada masa sama, Guan Eng berkata, Pelan Reset Covid-19 Negara perlu mempercepatkan vaksinasi, menyediakan pemeriksaan ujian masa menggunakan strategi cari, uji, kesan, kuarantin dan sokongan eerta Vaksinasi (FTTIS + V) seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Kita juga perlu memastikan hospital dan perkhidmatan kesihatan dikendalikan dengan baik dan diberikan peruntukan sepenuhnya untuk katil, ubat-ubatan, dan kemudahan di unit rawatan rapi (ICU) untuk merawat pesakit.
Ujar beliau, Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai RM45 bilion pula perlu menumpukan kepada bantuan kewangan dan suntikan dana secara terus serta berkala dan bukan pendekatan lapuk 'one-off' dan bantuan tidak langsung seperti pinjaman dan jaminan.
Justeru, beliau mahu perkara itu diserahkan golongan pakar profesional dan bukan ahli politik yang tidak kompeten untuk membuat keputusan.
"Diharapkan semua ini dapat mengembalikan semangat perpaduan seluruh negara supaya kita dapat mengatasi Covid-19 dan krisis ekonomi ini dengan lancar," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!