Isu sosial, mental meningkat akibat pandemik: MAIS

Abd Aziz ketika berucap pada Webinar Riqab 'Erti Sebenar Sebuah Kemerdekaan dan Pelancaran Bulan Pembebasan Riqab pada Selasa.
Abd Aziz ketika berucap pada Webinar Riqab 'Erti Sebenar Sebuah Kemerdekaan dan Pelancaran Bulan Pembebasan Riqab pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah sosial dan mental dalam kalangan umat Islam semakin meningkat akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, isu sosial dan mental itu termasuk kemurungan, keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak.

Menurutnya, masalah itu menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat yang akhirnya menyebabkan berlaku sesuatu perpecahan.

"Kesihatan mental umpamanya merupakan isu sosial yang tidak boleh dipandang enteng pada masa kini terutama dalam situasi negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

"Isu kesihatan mental sukar diselesaikan sendirian dan masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan membantu individu yang menghadapi isu ini mendapatkan khidmat nasihat kaunseling," katanya ketika berucap pada Webinar Riqab 'Erti Sebenar Sebuah Kemerdekaan dan Pelancaran Bulan Pembebasan Riqab pada Selasa.

Sehubungan itu, kata beliau, khidmat kaunseling yang betul dan selaras dengan kehendak syarak dapat membantu isu kesihatan mental diatasi dengan baik tanpa mencederakan diri sendiri atau sehingga ke peringkat membunuh diri.

Jelas beliau, MAIS membantu masalah itu menerusi penubuhan Rumah Pemulihan Majlis (RPM) seperti Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Selangor dan Pusat Perlindungan Baitul Islah di Serendah, Selangor.

"Penubuhan Rumah Pemulihan Majlis ini secara tidak langsung membantu umat Islam di Selangor melalui pemulihan dan perlindungan daripada 1,001 masalah sosial seperti akhlak, sosial remaja dan dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga kini, MAIS mempunyai 26 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPR) yang telah berdaftar di bawah MAIS.

"Peranan dan fungsi Rumah Pemulihan Riqab ini adalah sangat besar dalam membantu MAIS mengatasi masalah sosial di negeri ini," ujarnya.

Katanya, pada tahun ini, MAIS bertemu seramai 1,046 asnaf ar-Riqab di bawah Rumah Pemulihan Ar-Riqab.

"Angka ini meningkat dari tahun ke tahun dan menunjukkan MAIS serta agensi berkaitan berusaha membimbing dan memberikan kebajikan kepada asnaf Ar-Riqab di Negeri Selangor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!