Nelayan berarak dengan bot berhias sejauh dua kilometer

Mohd Azam bergambar bersama botnya yang dihiasi bendera ketika perarakan pada Selasa.
Mohd Azam bergambar bersama botnya yang dihiasi bendera ketika perarakan pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Komuniti Nelayan Kuala Kangkong menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 dengan cara tersendiri apabila mengadakan perarakan bot berhias sejauh dua kilometer di Kuala Kangkong di sini.

Penganjur program, Abu Bakar Saad, 66, berkata, perarakan berkenaan yang julung kali diadakan disertai oleh 11 buah bot berhias dengan penglibatan kira-kira 40 orang peserta.

Katanya, walaupun hujan turun lebat namun semangat para peserta tidak luntur malah tetap hadir bersama bot masing-masing yang dihiasi dengan Jalur Gemilang.

"Kami sudah lama mengimpikan perarakan seperti ini pada 31 Ogos, namun seringkali tertunda kerana banyak kekangan dari segi peruntukan dan lokasi yang sesuai.

"Alhamdulillah, hasrat kami direalisasikan pada tahun ini atas kerjasama pelbagai pihak. Insya-ALLAH ia akan menjadi acara tahunan setiap kali sambutan Hari Kebangsaan," katanya ketika ditemui di pelantar kayu Kuala Kangkong di sini pada Selasa.

Antara bot berhias yang menyertai perarakan di Kuala Kangkong di sini pada Selasa.
Antara bot berhias yang menyertai perarakan di Kuala Kangkong di sini pada Selasa.

Pemilik bot, Mohd Azam Ahmad, 40, berkata, dia mengeluarkan modal hampir RM300 untuk membeli bendera dan lain-lain keperluan menghias bot bersama dua awak-awaknya.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengambil masa kira-kira seminggu untuk mencari idea dan menghias bot ini. Kostum yang kami pakai pada hari ini sekadar menggunakan pakaian sedia ada dan diubah suai serba sedikit," katanya.

Selama 15 tahun bergelar nelayan ini adalah kali pertama dia menyertai perarakan seumpamanya.

"Saya sangat teruja dan bersemangat menyambut kemerdekaan pada kali ini bersama kawan-kawan nelayan yang lain. Doa saya pada sambutan kemerdekaan kali ini agar negara kita semakin maju dan bebas daripada pandemik Covid-19 pada kadar segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!