35 etnik Rohingya tidak terlibat jenayah

Semua PATI diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan.
Semua PATI diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan.
A
A
A

KANGAR - Seramai 35 etnik Rohingya yang mendarat di Pantai Sungai Belati, Sungai Baru di sini, semalam diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk diambil tindakan susulan kerana hanya melibatkan kes kemasukan ke negara ini secara haram.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya mendapati mereka yang terdiri daripada 26 wanita dewasa dan 9 kanak-kanak tersebut tidak terlibat dengan sebarang kes jenayah.

"Dalam kes pendaratan PATI dari Rohingya di Pantai Kuala Sungai Baru, Kangar, polis terima panggilan dari seorang pemanggil pada 1 Mac jam 7.30 pagi yang memaklumkan kira-kira 35 orang PATI mendarat berhampiran tapak melihat anak bulan di Simpang Empat.

"Siasatan lanjut mendapati kemasukan PATI ini pada jam 3 pagi pada 1 Mac melalui sebuah bot ikan dan PATI dilepaskan di tengah laut untuk naik ke daratan semasa air laut masih surut," katanya.

Menurutnya, selepas menurunkan semua PATI, bot ikan tersebut berpatah balik menghala ke arah tengah laut.

"Semua PATI tersebut dikumpulkan di tepi jalan di Persisiran Pantai Kuala Sungai Baru dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia sampai untuk memberi bantuan sepatutnya. Semua PATI tersebut di dalam keadaan baik.

"PATI tersebut ditemui terperangkap dalam selut selepas ditinggalkan oleh tekong disyaki sindiket kira-kira 500 meter dari Pantai Sungai Belati, Sungai Baru," katanya.

Noor Mushar berkata, PATI tersebut telah dibawa ke Pejabat Imigresen Kangar untuk tindakan susulan oleh pihak berkuasa tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!