Mangsa bencana Gunung Jerai imbau detik cemas digulung kepala air
ALOR SETAR - Pengalaman selama 11 tahun dalam pasukan bomba sedikit sebanyak telah membantunya melepasi suatu ujian mengerikan.
Abdullah Morad, 56, sama sekali tidak menduga kemahirannya dalam teknik mengapungkan diri dan tidak panik ketika berada di dalam air, menjadi bekalan ikhtiar diri ketika tragedi hentaman deras kepala air di Titi Hayun, Yan pada 18 Ogos lalu.
Abdullah adalah satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian menggemparkan itu. Namun, satu yang menjadi kenangan pahit adalah apabila perlu menerima ketentuan Yang Maha Esa, apabila nyawa abang sulungnya menjadi ganti.
Jasad Zainol Morad, 68, ditemui kira-kira 20 meter dari tempat Abdullah dijumpai tersangkut pada timbunan kayu.
Imbas Abdullah, pada hari kejadian, dia telah berjanji dengan abangnya untuk bertemu di rumah dusun peninggalan arwah bapa mereka di Titi Hayun, sekitar jam 2.30 petang.
Seingatnya, ketika hendak keluar dari rumah seperti sudah ada petanda bahawa sesuatu akan berlaku.
Diceritakan Abdullah kepada Astro Awani, kucing peliharaannya telah masuk ke dalam kereta dan tidak mahu keluar, seolah-olah tidak mengizinkannya pergi.
"Semasa saya hendak pergi, kucing saya masuk dalam kereta dan tidak mahu keluar.
"Saya terpaksa turun daripada kereta untuk membawanya keluar lalu mengurungnya di dalam sangkar," katanya.
Abdullah yang juga Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri Perlis, memaklumkan sebelum kejadian, dia dan abangnya berada di rumah dusun itu ketika hujan mula lebat.
Tidak lama selepas itu mereka didatangi Ahmad Din, 68, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, dan Ridwan Poniman, 61, yang meminta izin untuk berteduh kerana mereka tidak dapat menyeberang sungai akibat kerana air deras sekitar jam 4 petang.
Bagaikan detik yang terlalu pantas terjadi, Abdullah sempat terdengar bunyi dentuman kuat yang menghentam dinding bahagian dapur rumah berkenaan, dan tanpa sempat berbicara, dia secara tiba-tiba sudah berada dalam gulungan air dan dihanyut arus deras.
Dalam situasi yang cemas dan sukar itu, dia dapat berpaut pada sebatang kayu sebelum dihanyutkan air hampir 2 kilometer dari tempat kejadian.
Bagaimanapun, menurutnya, dia bernasib baik kerana arus deras itu membawanya ke kawasan tebing sungai sebelum dia terperangkap di bawah timbunan kayu dan ranting.
Di situ, dia hanya terfikir tentang mati. Dalam keadaan gelap, dia menjerit sekuat hati meminta pertolongan sehingga hilang suara. Di bawah timbunan kayu dan ranting itu, umpama episod akhir yang diingatinya, sebelum dia hilang kiraan waktu yang berlalu.
Lebih enam jam
Mujur, sisa suaranya meminta pertolongan didengari menantunya, Muhammad Muaz Mohd Idris, 31, yang seterusnya membawa kepada usaha menyelamatkannya.
Menurut Muhammad Muaz, dia bersama anggota bomba memasuki kawasan sungai itu sekitar jam 10 malam dan keadaan ketika itu gelap dan air sungai masih deras kerana masih hujan. Dia telah menemui jasad ‘Pak Long’nya, Zainol, terlebih dahulu lalu meminta anggota penyelamat datang membantu.
Ketika itulah Muhammad Muaz terdengar suara bapa mertuanya, Abdullah, yang sayup-sayup meminta pertolongan.
"Pada awalnya saya terdengar suara orang ramai dan keadaan agak gelap, rasa macam waktu malam. Sebagai orang Islam, saya hanya mampu berzikir ketika itu.
"Mereka kata saya hilang selama enam jam lebih. Saya tahu kejadian kepala air ini sekejap sahaja berlaku cuma saya tidak tahu saya berada di mana ketika itu. Tapi saya pasti saya tertimbus kerana saya boleh bau lumpur," kata Abdullah.
Jelasnya lagi, kejadian itu meninggalkan kesan trauma yang mendalam dalam diri dan seluruh anggota keluarganya.
Berpegang pada wasiat
Selepas lima hari menerima rawatan dan ditenangkan di hospital, Abdullah mendapati jari kelingking tangan kirinya terputus, selain urat kaki kiri serta lebam dan luka di seluruh badan akibat kejadian itu.
Meskipun pahit melalui pengalaman mencemaskan itu, dan ditambah pula dengan hakikat pemergian abang sulungnya sebagai korban, Abdullah reda dengan semua yang telah berlaku.
Jelasnya, dia akan meneruskan wasiat yang ditinggalkan arwah bapa dan abang sulungnya. Wasiat itu adalah untuk menjaga serta mengusahakan dusun buah-buahan di tanah seluas 5 ekar itu, yang kini terjejas teruk akibat daripada kejadian kepala air terbabit.
Dalam kejadian kepala air 18 Ogos lalu, enam mangsa meninggal dunia selepas dihanyutkan kepala air.
Mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai Ahmad Din, 68; Shahruzi Mohamad, 53; Zainol Morad, 66; Mohd Faizal Mohd Zohir, 28; Ku Shuib Ku Abdullah, 91; dan Ridwan Poniman, 61. - Sumber Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!