Agong berkenan sertai operasi SAR anggota tentera hilang

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat meninjau dan menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas yang melibatkan seorang anggota tentera di Sungai Pahang kawasan Kampung Batu Bor,Bera,pada Selasa. -Foto Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat meninjau dan menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas yang melibatkan seorang anggota tentera di Sungai Pahang kawasan Kampung Batu Bor,Bera,pada Selasa. -Foto Istana Negara
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan berangkat meninjau dan menyertai operasi mencari serta menyelamat mangsa dikhuatiri lemas iaitu seorang anggota tentera di Sungai Pahang kawasan Kampung Batu Bor, Bera pada Selasa.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda kira-kira jam 3.45 petang itu disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Memetik kenyataan melalui Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera (ATM), turut berkenan menerima persembahan taklimat Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ir.Wan Mohamad Zaidi Wan Isa.

Menurut kenyataan tersebut, keberangkatan itu jelas mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda terhadap rakyat khususnya golongan yang memerlukan dan ditimpa musibah.

"Dalam lawatan selama satu jam setengah itu, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa menyantuni dan menzahirkan rasa simpati Seri Paduka Baginda kepada keluarga mangsa.

"Pada masa sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa bagi mengurangkan beban mereka," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang merupakan anggota Tinjau dari Pasukan Kompeni PANDURA (Para) dipercayai lemas ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021pada 29 Ogos lalu.

Eksesais Para Predator merupakan salah satu eksesais dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (Para) yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka dalam tempoh 14 hari melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik TDM.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota tentera dikhuatiri lemas ketika latihan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!