Rakyat perlu kekal disiplin, bantu ‘merdekakan’ negara dari Covid-19

Hamzah, Abdul Aziz
Hamzah, Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat perlu kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha 'memerdekakan' negara daripada ancaman wabak Covid-19.

Menurut Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hamzah Hassan, hampir dua tahun kehidupan rakyat terjejas berikutan dibelenggu pandemik tersebut.

Justeru katanya, mereka perlu bekerjasama memerangi ancaman virus tersebut daripada terus merebak.

“Covid-19 tidak mengenal mangsa. Saya perhatikan ada segelintir masyarakat tidak kisah dengan virus ini. Mereka melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka dan gagal menjaga penjarakan sosial.

“Jika ada jangkitan mereka tidak salahkah diri sendiri sebaliknya menyalahkan pemimpin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau juga berkata demikian bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengajak Keluarga Malaysia untuk memulihkan negara dengan berjuang memerangi pandemik Covid-19 sekali gus memerdekakan negara daripada kegawatan dan ketidakstabilan politik.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, melawan penjajah berbeza dengan melawan ‘musuh yang tidak kelihatan’ kerana ia memerlukan ilmu yang sangat tinggi.

“Penjajah ini, motif mereka satu slogan sahaja. Nak jajah tanah Melayu, kemudian nak jadikan juga tanah Melayu ini bukan milik hak orang Melayu. Berbanding dengan pandemik Covid-19, kalau kita culas, maka orang lain akan terima padahnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Yang di-Pertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Abdul Aziz Mohd Ali pula berkata, rakyat perlu mematuhi setiap arahan yang diberikan oleh pemimpin.

“Kita harus ingat, berdiri sesebuah negara kerana ada yang memimpin dan yang dipimpin. Jika salah satunya tiada, maka tidak wujudlah negara tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta semua pihak menumpukan cara untuk memerdekakan bangsa dan negara daripada virus Covid-19 seperti mana yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!