Kerajaan perlu rumus strategi jelas pulih ekonomi negara: Gerakan

Dominic Lau
Dominic Lau
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu merumuskan strategi jelas untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap kemampuan negara menangani wabak Covid-19 bagi memastikan ekonomi negara pulih secepat mungkin.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ekonomi berkait rapat dengan keyakinan rakyat terhadap tindakan kerajaan menangani wabak tersebut.

"Walaupun kerajaan membuka pelbagai sektor ekonomi secara beransur-ansur, sebagai contoh mengizinkan rakyat yang telah menerima suntikan vaskin untuk ‘dine-in’, merentas daerah untuk bertemu pasangan atau anak serta melancong di dalam negeri.

"Namun, keyakinan pengguna dan perniagaan terhadap ekonomi negara belum dipulihkan. Oleh itu, perumusan strategi yang jelas amat penting bagi mengembalikan keyakinan semua pihak terhadap ekonomi negara kita," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut merujuk laporan infografik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Twitter, menyatakan rakyat negara ini menerima 34.03 juta dos vaksin manakala 19.39 juta atau 82.8 peratus populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos sehingga Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, negara berada di tahap penting dalam memerangi wabak Covid-19 maka kerajaan harus menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan dan pengalaman untuk merumuskan langkah-langkah komprehensif dan bijak untuk memulihkan ekonomi negara dan melindungi kehidupan rakyat.

Selain mempercepatkan program vaksinasi, beliau turut menyarankan kerajaan perlu mengambil langkah-langkah lebih profesional seperti program "eat out to help out” yang dilaksanakan di England.

Menurutnya, di United Kingdom, kerajaan ibu negara itu memberikan subsidi bulanan kepada industri seperti hotel, restoran dan tempat hiburan untuk mempromosikan pemulihan dan pembinaan ekonomi dengan lebih baik serta mengekalkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, di peringkat parti, Gerakan berpegang kepada prinsip dan falsafah politik mengutamakan rakyat kerana pembangunan negara untuk menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat bukan mudah.

"Misalnya, Gerakan secara berterusan menyebarkan barang keperluan harian seperti bakul makanan dan barang keperluan harian melalui pelbagai program kepada golongan yang memerlukan bantuan.

"Seperti dijanjikan, Gerakan akan bekerjasama dengan semua pihak demi rakyat," katanya.

Tambahnya, Covid-19 menguji kesatuan rakyat dan rakyat Malaysia perlu menunjukkan semangat yang tabah dan bersatu.

Beliau percaya Malaysia pasti akan mengatasi semua masalah dihadapi dan mencapai kejayaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!