Susun pinggan lepas makan di restoran
PEMANDANGAN meja makan ditinggalkan dalam keadaan bersepah dengan sisa makanan sudah dianggap biasa di restoran dan medan selera di negara kita.
Ramai pelanggan yang sengaja membiarkan meja berselerak begitu sahaja kerana menganggap kebersihan meja tersebut tanggungjawab pekerja premis.
Kalau di Malaysia, mungkin kita boleh terus angkat kaki lepas makan tetapi tidak di Singapura.
Di negara jiran itu, pengunjung medan selera dan kedai kopi yang tidak membersihkan meja selepas makan akan dikenakan denda S$300 (RM900) bermula 1 Januari 2022.
Peraturan baharu itu diumumkan oleh Agensi Alam Sekitar Singapura, Isnin lalu.
Singapura sering disebut sebagai negara yang sinonim dengan kebersihan dan denda.
Kempen membersihkan meja makan itu mula dilancarkan sejak awal tahun ini bagi menggalakkan pelanggan menjaga kebersihan di tempat-tempat makan awam di republik tersebut.
Pelanggan diingatkan supaya membersihkan meja, dengan membuang tisu atau pinggan mangkuk pakai buang, serta memulangkan dulang dan pinggan mangkuk masing-masing di tempat disediakan.
Merak Jalanan perhatikan amalan bersih meja ini sudah ada di Malaysia. Di kafe tempat kerja Merak Jalanan misalnya, perkara ini telah lama dibuat.
Semasa Merak Jalanan makan ikan patin tempoyak di sebuah restoran tepi sungai di Temerloh, Pahang dua tahun lalu, Merak Jalanan diberikan harga diskaun RM2 kerana menyusun pinggan selepas makan.
Insentif oleh pemilik restoran itu bagi memudahkan pekerja restoran mengutip pinggan yang ditinggalkan di atas meja memandangkan premis itu tidak putus-putus dipenuhi pelanggan.
Namun, bersih meja makan ini belum menjadi budaya yang diamalkan secara meluas khususnya di medan selera awam.
Begitupun, ia tidak mustahil boleh dilakukan walaupun tanpa undang-undang seperti di Singapura. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!