Sijil vaksin umpama pasport

Status MySejahtera, muat naik sijil digital vaksinasi serta nombor kad pengenalan dan nombor batch vaksin tidak harus didedahkan kerana akan menjadi sasaran penggodam serta pencuri identiti.
Status MySejahtera, muat naik sijil digital vaksinasi serta nombor kad pengenalan dan nombor batch vaksin tidak harus didedahkan kerana akan menjadi sasaran penggodam serta pencuri identiti.
A
A
A

31 Ogos adalah tarikh keramat bagi Malaysia selepas bebas daripada dijajah.

Bukan mudah untuk sesebuah negara mengecapi kemerdekaan malah ramai pejuang tanah air terkorban dalam peperangan demi bangsa dan negara dicintai.

Kini perjuangan berkenaan masih diteruskan tetapi kali ini seluruh rakyat berperang dengan virus yang tidak dapat dilihat.

Sudah lebih setahun, pergerakan kita terbatas bagi mengekang wabak berkenaan daripada terus dijangkiti ramai.

Kerajaan berusaha membendung penularan wabak ini dengan menyediakan vaksinasi percuma untuk semua penduduk di negara ini.

Bagi menggalakkan semua rakyat mendapatkan vaksin, banyak program kesedaran diuar-uarkan malahan kerajaan turut mengumumkan beberapa kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap.

Pada 8 Ogos lalu, apabila Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran berkenaan, kebanyakan rakyat berasa sedikit lega.

Antara kelonggaran yang diberikan adalah kebenaran melakukan aktiviti makan di restoran di negeri-negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beberapa aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi seperti kedai pakaian, kedai barangan elektrik, kedai gunting rambut, kedai kasut, masjid, pasar pagi dan pasar malam.

Walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, namun rakyat berpuas hati dengan kelonggaran berkenaan.

Bagaimanapun, pengumuman berkenaan menimbulkan rasa cemburu dalam kalangan antivaksin kerana merasakan mereka dianaktirikan.

Antivaksin

Baru-baru ini, penulis terbaca mengenai tindakan seorang individu antivaksin kononnya membuat ‘eksperimen sosial’ dengan memasuki kedai makan tanpa lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Individu berkenaan dengan penuh bangga memuat naik status di akaun Facebook menceritakan apa yang dialami sepanjang ‘eksperimentasi’ berkenaan.

Wanita berkenaan turut berbangga kerana berjaya memasuki beberapa premis perniagaan tanpa pemeriksaan status vaksin dijalankan pihak premis.

Hal itu mengundang kemarahan warganet malah individu berkenaan menerima banyak kecaman atas tindakannya yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Akhirnya pasangan antivaksin tersebut ditahan pihak berkuasa dan disiasat mengikut Seksyen 269, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

Selain itu, penulis juga terbaca satu perkongsian seorang warganet di laman Facebook mendedahkan kawannya yang belum terima vaksin meminta menggunakan sijil vaksinasi untuk makan di restoran.

Lebih menyedihkan, apabila wanita itu tidak menunaikan permintaan berkenaan, dia dimaki hamun oleh kawannya.

Penulis turut terbaca satu lagi perkongsian dimuat naik beberapa klinik menyatakan ada golongan antivaksin yang berani meminta sijil palsu vaksinasi dan sanggup membayar ribuan ringgit untuk membolehkan mereka mendapatkan kelonggaran seperti penerima dos lengkap.

Menerusi perkongsian ini, boleh dikatakan sijil vaksinasi amat penting dalam kehidupan seharian.

Malahan untuk menunaikan umrah atau haji, kerajaan Arab Saudi juga mewajibkan bakal jemaah haji perlu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Oleh itu, marilah mendaftar untuk mendapatkan vaksin yang disediakan kerajaan. Bagi yang sudah mendaftar, bersabarlah menunggu giliran anda untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Kepada yang sudah lengkap vaksin jangan tunjuk status MySejahtera, muat naik sijil digital vaksinasi serta dedah nombor kad pengenalan dan nombor batch vaksin di media sosial kerana akan menjadi sasaran penggodam serta pencuri identiti.

Ingatlah, perjuangan kita belum tamat kerana semua rakyat Malaysia kini adalah petugas barisan hadapan yang berusaha memerangi wabak paling berbahaya abad ini.

Semoga pada 31 Ogos 2022, semua rakyat Malaysia dapat merasai kemerdekaan sebenar seperti tahun-tahun sebelum kedatangan Covid-19.

*Siti Noraisah Adamin ialah Wartawan Portal PRU Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!