Tiada lagi rasa segan ambil rasuah

Perikatan Gabungan Jawatankuasa NGO Islam (ACCIN) berpandangan masyarakat hari ini sudah tiada perasaan segan apabila libatkan diri dengan rasuah dan salah guna kuasa. Gambar kecil: Mohd Jamaludin
Perikatan Gabungan Jawatankuasa NGO Islam (ACCIN) berpandangan masyarakat hari ini sudah tiada perasaan segan apabila libatkan diri dengan rasuah dan salah guna kuasa. Gambar kecil: Mohd Jamaludin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) berpandangan masyarakat hari ini sudah tidak mempunyai perasaan segan apabila melibatkan diri dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, buktinya sangat jelas apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia menunjukkan Malaysia menduduki tangga 57 dari 180 negara, naik enam tangga berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, pada tahun 1980-an, individu yang terlibat dengan rasuah melakukannya secara sorok-sorok dan sekitar 1990-an pula keadaan berubah kepada secara tidak berapa malu dan pada alaf 21 dilakukan secara terang-terangan.

“Situasi di atas jelas menunjukkan bahawa rasuah dan salah guna kuasa di negara ini sudah berada di tahap endemik,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas intipati mesyuarat gabungan ACCIN bersama Rasuah Busters yang dilakukan secara maya baru-baru ini.

Katanya, hasil perbincangan dengan pihak Rasuah Busters memutuskan bahawa semua bersetuju rasuah dan salah guna kuasa adalah satu masalah besar dan ancaman kepada negara sejak sekian lama terutama oleh pimpinan negara.

Ujarnya, kesannya mula kelihatan apabila negara mula dibebani dengan kadar hutang yang tinggi, penghasilan projek-projek berkualiti rendah tetapi berharga tinggi yang dirunding terus dan banyak lagi ketirisan yang berlaku.

“Pada saya, rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah kembar serangkai. Dengan kewujudan dua perkara inilah maka segelintir pemimpin kita mengamalkan politik wang dan politics of patronage sehingga menyebabkan lagi banyak masalah.

Artikel Berkaitan:

“Apabila mengamalkan politik wang maknanya orang yang mendapat duit melalui rasuah dan salah guna kuasa akan terus berkuasa,” kata beliau lagi.

Pada masa sama, Mohd Jamaludin berkata, pihaknya juga mengambil keputusan bahawa usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan secara bersepadu, top down dan bottom up.

“Saya berpandangan, usaha seperti kempen Rasuah Busters ini adalah secara bottom up iaitu mahu menyedarkan masyarakat betapa bahayanya rasuah.

“Kerana itu saya juga berpendapat institusi semak imbang dan badan penguatkuasaan perlu berwibawa, bebas dan tegas.

"Contoh seperti negara China, pimpinan kerajaannya membanteras rasuah dengan tekun sekali dan menampakkan kejayaan. Saya yakin Malaysia juga mampu melakukannya di semua peringkat,” ujar beliau.

Sehubungan itu katanya, ACCIN menyokong penuh kempen Rasuah Busters bagi mencegah dan membanteras rasuah di negara ini.

“Kita membuat ketetapan untuk menyokong usaha Rasuah Busters. Kami memandang tinggi usaha yang dilaksanakan ini. Kempen ini bergerak dengan sungguh sistematik dan mengambil pendekatan untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya saling membantu.

“Usaha untuk menimbulkan perasaan benci, bahaya dan bagi pendidikan kepada orang awam, penjawat awam dan pemegang jawatan adalah sangat penting dan perlu diteruskan lebih giat. Mereka perlu melihat rasuah ini sebagai najis dan sebagai perkara haram dan dibenci semua agama,” kata beliau.

Untuk rekod, ACCIN terdiri daripada 20 gabungan NGO Islam antaranya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!