Lapan cedera akibat serangan dron di Arab Saudi
RIYADH - Satu serangan dron ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di wilayah Aseer dekat Laut Merah, Arab Saudi pada Selasa menyebabkan lapan orang cedera, kata tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi.
Tentera perikatan itu kini sedang bertempur dengan kumpulan Houthi di Yemen dalam perang yang bermula sejak tahun 2014 manakala Arab Saudi dan sekutu-sekutunya campur tangan dalam perang saudara di negara berkenaan.
Bagaimanapun, serangan kedua dron dengan sasaran yang sama berjaya dipintas dan ditembak jatuh, kata tentera perikatan tersebut menerusi satu kenyataan di stesen televisyen Al-Ekhbariya di negara tersebut.
Menurut tentera tersebut, serangan kedua itu merupakan satu jenayah perang selepas Arab Saudi memintas satu lagi dron pada awal hari berkenaan.
Dalam satu lagi kenyataan, ia menyatakan mangsa-mangsa yang cedera dalam kejadian itu ialah seorang warganegaranya, seorang rakyat Nepal, tiga orang dari India dan tiga lagi berasal dari Bangladesh.
Menurut laporan Al-Ekhbariya, selepas tentera perikatan memintas peluru berpandu itu dalam serangan pertama, serpihan akibat kejadian tersebut bertaburan dekat landasan terbang lapangan terbang tersebut.
Justeru, ia melaporkan, penerbangan-penerbangan terpaksa dihentikan sementara bagi memastikan keselamatan pesawat yang berlepas dan tiba di lapangan terbang berkenaan.
Mangsa-mangsa yang cedera itu disebabkan terkena serpihan-serpihan dron yang ditembak jatuh itu.
Dalam pada itu, kumpulan Houti yang berjaya menyingkirkan pentadbiran kerajaan Presiden Abdrabbuh Mansur Hadi dari ibu kota Sanaa yang kemudian menjadikan Aden di selatan negara tersebut sebagai pusat pentadbirannya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!